“ Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya),”
( al Lail : 3 )
Sekarang ini, boleh dikatakan seluruh dunia sedang mangalami krisis yang sama, iaitu krisis untuk tangani virus Korona atau lebih dikenali dengan COVID 19 . Di dalam agama Islam, setiap kejadian pasti ada hikmahnya. Bagi orang beriman, mereka akan lihat lebih kepada hikmah yang tersembunyi. Saya ingin kongsikan beberap perkara yang kita boleh ambil pengajaran daripada kejadian ini:
1) Taat dan Patuh
Kejadian ini menunjukkan bahawa tiada antara kita yang lebih berkuasa melainkan Allah. Tiada istilah “Superhuman”. Kita semua di bawah kawalah yang Maha Esa. Kita boleh lihat semua negara tidak kira besar atau kecil, Semua takut dengan apa yang dikatakan “smallest of the small”. Virus ini merupakan manifestasi kehidupan yang paling kecil diciptakan oleh Allah. Sehinggakan, kita mahu lihat virus ini bukan dengan menggunakan mikroskop biasa, tetapi dengan menggunakan Mikroskop elektron pengimbas (scanning electron microscope, SEM). Mikroskop elektron pengimbas ialah sejenis mikroskop elektron yang membayangkan permukaan sampel melalui pengimbasannya dengan sinaran bertenaga tinggi elektron dalam satu corak pengimbasan cakar. Elektron berinteraksi dengan atom-atom yang mmebuatkan sampel tersebut menghasilkan isyarat yang mengandungi maklumat mengenai topografi permukaan sampel, komposisi dan sifat-sifat lain seperti kekonduksian elektrik. Ini menunjukkan virus ini amat kecil. Hal ini juga membuktikan bahwa adanya keweujudan Rab. Bukan kita yang kawal kita punya takdir, tetapi Allah lah yang mengawalnya. Kita hanya mampu tahu sedikit sahaja ilmu berkaitan ciptaan Allah, selainnya adalah majhul dan tidak diketahui.
Firman Allah S.W.T :
وَيَخْلُقُ مَا لَا تَعْلَمُونَ “Dan Allah menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” ( an Nahl : 8 )
2) Menghargai hidup dan mati
Kita sudah terbiasa mengabaikan perkara yang disuruh dan dilarang oleh Allah. Kita terlalu selesa dengan semua kehidupan materialsitik di dunia ini. Walhal Allah telah berfirman akan beberapa ayat tentang kematian :
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Tiap tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan”. (Ali Imran : 185).
قُل لَّن يَنفَعَكُمُ ٱلْفِرَارُ إِن فَرَرْتُم مِّنَ ٱلْمَوْتِ أَوِ ٱلْقَتْلِ وَإِذًا لَّا تُمَتَّعُونَ إِلَّا قَلِيلًا
“Lari itu sekali kali tidaklah berguna bagimu, jika kamu melaikan diri dari kematian atau pembunuhan, dan jika kamu terhindar dari kematian kamu tidak juga mengecap kesenangan kecuali sebentar saja”. (Al Ahzab : 16).
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”
[ Al Mulk : 2 ]
Kematian akan mengingatkan bahawa hidup kita sebenar adalah di akhirat. Hati yang keras akan menjadi lebut dengan mengingati kematian. Orang berimanlah yang akan lihat bahawa bala merupakan satu keberkatan bukan kemusnahan. Kerana mereka sedar bahawa dunia ini hanya sementara.
3) Manusia itu sama
Virus ini menyerang manusia sama rata. Virus ini takkan memilih siapa yang paling lemah atau miskin. Tetapi semua manusia tidak kira pangkat, agama mahupun bangsa berisiko untuk terkena. Perkara ini menunjukkan kebodohan “Superiority Complex”. Semua manusia mempunyai risiko yang sama untuk terinfeksi dengan virus ini.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ، كُلُّكُمْ لِآدَمَ، وَآدَمُ مِنْ تُرَابٍ
“Wahai sekalian umat manusia, ketahuilah sesungguhnya Tuhanmu satu (esa). Nenek moyangmu juga satu, kamu semua berasal dari Adam. sedangkan Adam berasal dari tanah. (HR. Ahmad, 23536) Manusia itu sama. Yang membezakan manusia hanyalah Taqwa.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakanmu dari seorang pria dan wanita, dan menjadikanmu berbagai bangsa dan suku agar saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Tahu lagi waspada” ( al-Hujarat : 13)
Kita adalah ciptaan yang datang daripada tanah, maka kepada tanah jualah kita akan kembali. Ada sebuah kisah pada zaman dahulu di mana ada sebuah pemerintah yang zalim di sebuah negeri. Raja itu telah menangkap seorang alim dan memburukkannya di depan semua orang. Tetapi raja iru mendapati ada seekor lalat menngganggunya. Lalu raja itu bertanya kepada orang alim ini : “ kau tengok lalat ini? jelaskan kepadaku mengapa Allah telah ciptakan lalat yang hodoh di atas muka bumi ini ? “. Lalu si alim itu menjawab : “ Tuhan menciptakan lalat supaya kita sentiasa merendah diri dan tidak sebongkak sepertimu”
4) Manusia itu saling memerlukan
Orang sombong dan pentingkan perlukan juga orang lain untuk menjaga mereka ketika mereka sakit. Ini kerana manusia mahu bercinta dan dicintai. Disamping itu kita dapat lihat kepentingan sebuah sistem masyarakat yang efektif. Kita akan lihat betapa pentignya sebuah kerajaan dalam keadaan genting seperti ini. hal ini juga memerlukan sebuah sistem “ check and balance” yang berkesan. Kita lihat bagaimana perubahan orang arab sebelum dan selepas Islam datang. Sebelumnya mereka adalah sebuah masyarakat yang jauh dan tidak diketahui sehinggakan dipanggil arab jahiliyyah. Tetapi selepas Islam datang membawa sebuah sistem yang melengkapi dan meliputi semua aspek kehidupan. Akhirnya masyarakat yang jahil ini jugalah yang terkenal daripada China sehingga Andalusia. Perkara ini menunjukkan betapa pentingnya manusia untuk mengangkat nilai Undang – undang dan perintah. Akhirnya manusia akan lebih sistematik dalam menghadapi sebuah krisis dan konfilk yang sebesar ini.
5) Mesti ada kuasa yang lebih tinggi ( Iman bil Qadr )
Kita dapat lihat betapa rambang dan rawaknya virus ini tersebar. Inilah bukti menunjukkan adanya kuasa yang lebih tinggi mengawal segala perkara di dunia ini.
إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ
Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)
(Surah al-Qamar, 49)
Walaupun kita ambil langkah berjaga – jaga sampai ke tahap yang ekstrim, tetapi kalau ditakdirkan Allah untuk terkena virus ini maka itulah yang akan berlaku.
عن عائشة رضي الله عنها قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا يغني حذر من قدر و الدعاء ينفع مما نزل ومما لم ينزل وإن البلاء لينزل فيتلقاه الدعاء فيعتلجان إلى يوم القيامة.
Artinya: “Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: ”Sikap kehati-hatian tidak menahan dari takdir, dan doa bermanfaat dari apa yang terjadi (turun) ataupun yang belum terjadi (turun) dan sesungguhnya bala benar-benar akan turun lalu dihadang oleh doa, mereka berdua saling dorong mendorong sampai hari kiamat.” HR. Al Hakim dan dihasankan oleh Al Albani di dalam kitab Shahih Al Jami’, no. 7739.
Tetapi walaupun takdir itu allah yang tentukan, tetapi kita masih lagi mempunyai kuasa doa. Tidak semestinya kita tidak ambil tindakan langsung untuk mencegah virus ini. Bahkan umat Islam lebih digalakkan untuk mengambil langkah pencegahan yang rapi dalam menangani virus ini.
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Hibban di dalam Sahihnya:
أَخْبَرَنَا الْحُسَيْنُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْقَطَّانُ قَالَ حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ عَمَّارٍ قَالَ حَدَّثَنَا حَاتِمُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ قَالَ حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ جَعْفَرِ بْنِ عَمْرِو بْنِ أُمَيَّةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ: قَالَ رَجُلٌ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرْسِلُ نَاقَتِي وَأَتَوَكَّلُ؟ قال: "اعقلها وتوكل Seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: Aku lepaskan unta aku dan aku bertawakkal? Baginda menjawab: Ikatlah unta itu dan bertawakkallah. [Sahih Ibn Hibban, no: 731]. Shaikh Syu'aib al-Arnaouth menyatakan bahawa hadis ini hasan.
Dalam riwayat Al-Hakim, dengan lafaz berikut:
بَلْ قَيِّدْهَا وَتَوَكَّلْ Ikatlah ia, dan bertawakkallah.
[Al-Mustadrak, no: 6616. Adz-Dzahabi berkata sanadnya baik]
Dalam satu kitab tulisan ilumuwan Islam, Al-Tahawi dicatatkan bahawa Saidina Umar menuju ke Syam atas sesuatu urusan kerana Syam sedang dilanda wabak taun. Setelah perbincangan dibuat, beliau telah mengambil keputusan untuk tidak memasuki Syam.
“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini telah dibaca oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf kepada Khalifah Umar Al-Khattab. Ketika itu Umar bercadang ingin pergi ke Syam semasa wabak taun sedang merebak di sana. Mendengar bacaan hadis ini, beliau membatalkan niatnya ke sana dan berpatah balik.
Wabak ini mula tersebar apabila ramainya mayat-mayat yang terbunuh sewaktu peperangan menentang Rom. Begitu ramai yang mati kerana besarnya jumlah tentera Rom yang menyerang. Disebabkan mayat terlalu ramai dan tak terurus maka tersebarnya taun.
Wabak ini juga dah menyebabkan ramai sahabat menjadi mangsa dan mati seperti Abu Ubaidah Ibnu Jarrah, Syurahbil Bin Hasanah dan lain-lain lagi.
Sebenarnya, keputusan Saidina Umar untuk membatalkan lawatannya ke sana dah menerima kritikan beberapa sahabat lain.
“Maka ada sahabat-sahabat yang menempelak Saidina Umar, adakah awak takut kepada Qada’ dan Qadar Allah?…
Saidina Umar menjawab, aku keluar daripada Qada’ Allah masuk pada Qada’ Allah, kata Saidina Umar. Aku tak masuk pun Qada’ Allah, aku melarikan diri daripada Ta’un pun Qada’ Allah.”
Akhir kalam, marilah bersama – sama bermuhasabah dengan ujian yang sedang melanda kita sekarang. Dalam ajaran Islam, pencegahan menjadi asas utama kepada penjagaan kesihatan yang baik. Dalam masa yang sama aktiviti kehidupan dilakukan secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan. Tidak lupa juga, bidang perubatan dan kesihatan moden berasaskan kaedah saintifik yang memberi tekanan terhadap pencegahan dan rawatan.
Jadi, sudah menjadi tugas individu dan masyarakat Islam untuk wajib mencegah sebarang perilaku dan aktiviti yang mengundang kepada kemudaratan dan kehinaan. Semoga kita sentiasa dilindungi oleh Allah dan moga ada hikmah disebalik ujian ini.
Hazmi Irsyad bin Mohamad Noor Azman
Presiden HARMONI IIUM PAGOH
Comments