top of page
Kolumnis Jemputan

Patriaki Masyarakat Kini - Ain’nul Hayati Hashim

“Bukan laki-laki yang hendak kami lawan, melainkan pendapat kolot dan adat usang”

- R.A Kartini

Merujuk kepada mutiara kata yang dipetik di atas, jika diperhatikan sikap masyarakat kita, rata-rata daripada mereka masih boleh dikatakan mempunyai sikap patriarki. Barangkali mereka berpendapat bahawa idea antipatriarki bermaksud penentangan terhadap golongan lelaki. Walhal, idea antipatriarki sebenarnya merujuk kepada penentangan sistem dan amalan yang berlandaskan kekuasaan hanyagolongan lelaki dalam sistem masyarakat.


Oleh kerana wujudnya sikap sebegini, tidak dapat dinafikan bahawa golongan wanita secara tidak rela menjadi mangsa keadaan. Hal ini kerana tradisi turun-temurunsangat jarang dipersoalkan oleh masyarakat yang mengamalkannya kerana merekaakan dianggap biadap jika melakukan sedemikian. Oleh itu, pada masa sekarang, dapat kita lihat sikap ini diteruskan dengan cara ianya dipaparkan di laman sosial media pihak-pihak yang menganggap ianya tidak salah untuk diteruskan.


Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan patriarki sebagai sistem masyarakat yang sebahagian besar kekuasaannya dipegang oleh kaum lelaki. Perkataan sistem masyarakat ini pada dasarnya kelihatan seperti patriarki hanya merangkumi aspek-aspek seperti kepimpinan dan penguasaan lelaki terhadap hartabenda. Namun begitu, perlu diingat bahawa moral authority juga tersenarai dalamdefinisi patriarki. Apa itu moral authority? Moral authority secara amnya didefinisikan sebagai andaian asas yang menjadi bimbingan untuk manusia membentuk persepsi terhadap dunia. Definisi khususnya pula adalah pematuhan kepada kebenaran yang bersifat tidak berubah. Prinsip ini pada asalnya bersifat tetap, namun perbezaan terjadi setelah individu mengadaptasinya mengikut situasi mereka. Oleh itu, prinsip ini diadaptasi berlandaskan hati nurani tersendiri. Mereka bebas untuk memilih untuk mematuhi ataupun untuk ingkar kepada prinsip ini.


Berbalik kepada isu utama, mengapa masih wujud sikap patriarki dalam masyarakat kita? Faktor yang pertama adalah kerana didikan kekeluargaan. Sekiranya ibu bapa masih mengamalkan tradisi yang berat sebelah, mereka akan menyumbang kepada isu ini. Hal ini kerana sejak anak-anak kecil lagi, segelintir daripada ibu bapatelah mengajar anak-anak mereka tentang perbezaan gender yang tidak semestinya berdasarkan asbab biologi, agama dan psikologi yang kukuh.


Permulaan kepada perbezaan ini terjadi apabila ibu bapa membahagikan tugasan di rumah secara tidak adil. Misalnya, anak lelaki dibiarkan bangun lambat dantidak menyumbang tenaga untuk sama-sama membuat tugasan di rumah. Namun begitu, anak perempuan jika berkelakuan sedemikian, pasti dibebel kerana anak dara dikatakan mesti bangun awal untuk membuat sarapan dan melakukan kerja rumah.


Natijahnya, sehingga dewasa, mereka beranggapan bahawa kelakuan itu adalah normal. Cara hidup seperti ini boleh menjadi toksik yang sukar dirawat dalam kehidupan mereka. Sungguhpun begitu, tidak dinafikan bahawa ada ibu bapa yang sedar akan isu ini dan kurang menyumbang kepada jurang perbezaan ini.


Perbezaan gender juga wujud apabila anak perempuan dikawal dari segi pemakaian supaya mereka sentiasa kelihatan manis, bahkan ada dalam kalangan rakan-rakan wanita yang masih dipandang serong kerana selesa dengan tracksuit atau seluar. Andai tidak berseluar berwarna feminin, mereka dikatakan agak kelelakian, lasak dan tidak berperwatakan ayu sebagai perempuan. Oleh itu, mereka diberikan blaus, gaun ataupun skirt. Setelah meningkat dewasa, mereka seolah-olah perlu“memenuhi” stereotaip masyarakat kerana mereka telah dididik sebegitu sejak dari kecil lagi.


Apakah stereotaip itu? Ianya ialah wanita sejati seharusnya berambut panjangdan memakai skirt. Siapakah yang telah menetapkan definisi kepada wanita sejati? Bukankah sepatutnya menjadi pilihan wanita itu sendiri untuk memilih cara mereka berpakaian terutamanya selagi mereka mematuhi syariat? Masih perlukah mereka menyimpan rambut yang panjang jika berambut panjang membuatkan mereka berasa tidak selesa? Harapan dan imej yang perlu dipotretkan oleh seorang wanita inilah satubentuk patriarki.

Tambahan pula, harapan-harapan ini apabila disuarakan oleh lelaki-lelaki yang mengharapkan wanita untuk mencapai “piawaian” mereka, membuktikan bahawa sikap ini masih belum terhakis daripada masyarakat kita. Mungkin ada yang berpendapat bahawa stereotaip ini sebenarnya adalah garis panduan untuk menjaga maruah wanita seperti yang ditekankan oleh Islam. Namun begitu, saya berpendapat bahawa garis panduan yang diberikan ini sebenarnya telahpun disalahguna sebagai tiket untuk mengawal wanita dengan mengekang mereka daripada melakukan yang dimahukan serta dibolehkan dalam Islam.


Selain itu, faktor lain yang sukar ditangani adalah pengaruh media sosial. Pada awalnya, jika difikirkan, media sosial ini boleh sahaja menjadi medium penyebaran perkara-perkara yang positif. Namun begitu, sesetengah daripada pengguna media sosial masih menyalahgunakannya untuk menyebarkan pemahaman berat sebelah ini. Imej wanita di media sosial masih lagi berpaksikan kecantikan dan populariti. Terdapatsatu budaya di media sosial di mana para pengguna bebas berkongsi tentang pemikiran mereka.


Misalnya, di Twitter, terdapat pernyataan yang dikemaskini oleh seorang lelakiseperti “saya tidak minat perempuan yang post video PUBG di Instagram.” Ayat ini menunjukkan bahawa lelaki ini meletakkan wanita pada kedudukan yang tidak membolehkan mereka menikmati kepuasan untuk membuat sesuatu yang disukai. Adakah lelaki patut didiskriminasi jika mereka lebih suka bermain congkak? Begitulah situasinya juga di sini untuk wanita. Pilihan ini sepatutnya diletakkan mengikut apa yang individu tersebut gemar, bukannya mengikut gender mereka.


Tambahan lagi, ada juga yang berani bertanya soalan-soalan seperti “masih adalagikah perempuan yang memakai cekak rambut?” di Twitter dan “wujud lagikah perempuan yang menyapu di halaman rumah?” di Facebook. Soalan seperti ini membuatkan saya terfikir, adakah individu yang bertanya itu berniat untuk menajacekak khas untuk mereka yang tidak lagi memakai cekak? Tambahan pula, perlukahwanita-wanita ini menyapu di halaman rumah mereka tepat pada masa yang boleh dilihat oleh individu-individu ini?


Oleh sebab itu, tugasan untuk kelihatan cantik dan rajin, sehingga sekarang, dilihat membebankan bahu wanita. Kesemua beban yang diletakkan atas bahu mereka ini juga adalah semata-mata untuk memuaskan tuntutan sosial terhadap mereka. Para pengguna yang disebutkan ini, walaupun mungkin berniat baik dan sekadar bertanya atau bergurau, tetapi mereka harus sedar bahawa kegagalan mereka untuk berhati-hati dalam bertanya dan membuat kenyataan sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran pengguna lain melihat isu ini dan sebahagian wanita yang seringkali direndah-rendahkan pula, acap kali tersinggung.


Kesimpulannya, dua faktor ini adalah halangan utama yang perlu ditangani terlebih dahulu supaya usaha untuk menyingkirkan sikap toksik ini menjadi lebih efektif. Sekiranya halangan ini masih wujud, usaha yang dilakukan, tanpa mengira masa, mustahil boleh membuka mata masyarakat kerana akar umbi kepada permasalahan ini masih belum diselesaikan.


Mungkin ada perlunya kita bermuhasabah diri dengan mendalami semula ayat 59 surah An-Nahl, “Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan, sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sesungguhnya jahat apa yang mereka hukumkan itu.”


Apa bezanya kita dengan masyarakat Jahiliyyah terdahulu sekiranya sikap ini masih gagal untuk disingkirkan? Banggakah kita untuk dianggap sebagai “Jahiliyyah moden” disebabkan sikap patriarki ini?


oleh

Ain’nul Hayati Hashim

Kolumnis Jemputan

74 views0 comments

Comments


bottom of page