top of page
Kolumnis Jemputan

Garis Mula Pemberdayaan Wanita - Shakirah Ahmad Sharifuddin

“Saya terpaksa ponteng kelas tadi. Senggugut sangat. Nak ke klinik jauh dan tak mampu. Kalau ada cuti khas kan bagus”

“Saya tak dapat menjadi jawatankuasa program itu kerana sakit senggugut. Risau menyusahkan yang lain pula”


Keluhan dan suara-suara begini sememangnya wujud di sekitar kampus cuma tidak didengari dengan begitu kuat kerana tiada satu gabungan atau kesatuan yang mengetengahkannya. Akibat daripada itu, suara dan keluhan itu dibiarkan sepi dengan tanggapan ia hanya masalah remeh dan bersifat peribadi. Namun, ketika kita memandang isu-isu begini sebagai masalah peribadi dan bukan sesuatu yang perlu diberi perhatian, maka kita sedang membiarkan ketidakadilan ke atas perempuan berlaku dan mencipta stigma sosial yang capik. ‎Tambahan lagi, Al Quran juga mengiktiraf pengalaman menstruasi perempuan dan menyifatkan sebagai “adza” (rasa sakit), maka wajarlah masyarakat mempertimbangkan apa-apa tindakan dan polisi supaya dapat memudahkan perempuan dan tidak menambah kesakitan ketika menjalani fasa itu. Dalam kata mudah, pengalaman biologi perempuan juga merupakan cabang kemanusiaan ‎‎yang harus dititikberatkan. Justeru, kita tidak harus memandang isu-isu begini sebagai tabu kerana kegagalan melihat dari lensa kemanusiaan akan menatijahkan kerumitan yang tidak manusiawi.


Pemberdayaan wanita pula merupakan usaha untuk meningkatkan potensi diri wanita seterusnya menjadikan mereka mandiri atas keputusan-keputusan yang berkaitan dengan kehidupan. Wanita perlu diupayakan untuk berani memilih dan mengatur kehidupannya tanpa dihalang oleh pengalaman biologi mereka seperti menstruasi, mahupun stigma gender. Secara kesimpulannya, pemberdayaan wanita adalah ketika mana kita memberi akses wanita untuk kehidupan yang lebih baik melalui peluang bersuara, peluang bercakap dan juga peluang menjadi sebahagian daripada komuniti.


Di dalam konteks universiti, pemberdayaan siswi adalah ketika mana mahasiswi tidak hanya dilibatkan di pentas belakang tabir semata-mata, bahkan diberi pilihan dan motivasi untuk menjadi sebahagian daripada pasukan pembuat dasar dan menjadi orang penting dalam aktivisme mahasiswa.


Namun, kesemua idea-idea tentang kemanusiaan perempuan dan pemberdayaan siswi pasti gagal diterjemahkan dalam bentuk polisi yang mesra siswi sekiranya tiada “daya” dan “tekanan” dibuat di pihak gerakan mahasiswi. Sebagai contoh, keselamatan dan kebajikan mahasiswi yang aktif berpersatuan harus dititik beratkan dengan mewujudkan fasiliti yang selamat kepada mereka. Sebagai contoh, lorong laluan yang gelap adan antara hostel dan bilik-bilik kuliah mestilah ditambah baik prasarananya agar tidak menimbulkan sebarang bahaya. Dengan itu, kebijaksanaan dan ketangkasan mereka berorganisasi tidak terhalang semata-mata oleh fasiliti yang tidak lengkap.


Maka, di sini letaknya fungsi sebenar dan peranan persatuan dan gerakan mahasiswa di universiti untuk sama-sama menjalankan usaha kolektif dan menjadi suara mahasiswi untuk isu-isu ‘fundamental’ yang melibatkan kebajikan dan keselesaan siswi. Usaha pemberdayaan wanita sebenarnya bukanlah tidak wujud di universiti. Tetapi setiap sayap siswi di universiti tidak mempunyai semangat solidariti sehingga mampu mewujudkan suara kolektif yang merepresentasi mahasiswi.


Bermula dari universiti, gerakan mahasiswi seharusnya dilatih untuk sentiasa mengutamakan dan berfikir tentang dua maslahat utama, iaitu kebajikan dan keselamatan siswi. Selain itu, universiti juga adalah tempat terbaik untuk gerakan mahasiswi membahaskan dasar-dasar negara yang melibatkan wanita. Apabila corak pemikiran ini sudah terlatih, gerakan mahsiswi nescaya tidak akan menjadi nadir, ‎bahkan akan sentiasa aktif atas semangat solidariti.‎


Akhir kata, polisi mesra siswi hanya akan dapat diimplementasikan secara penuh di peringkat universiti jika adanya kesedaran mengenai kemanusiaan perempuan dan pemberdayaan siswi. Semua gerakan mahasiswi perlu menjadi satu suara kolektif untuk ‎menggerakkan wacana ini supaya ia menjadi subjek utama dalam wacana mahasiswa. Hal ini tentulah didasarkan pada satu pemikiran mengenai perlunya kemandirian bagi kaum perempuan, supaya pembangunan dapat dirasakan oleh semua pihak.


Kerana apa?

Kerana kaum perempuan juga merupakan sebahagian daripada komuniti.



oleh

Shakirah Ahmad Sharifuddin

Kolumnis Jemputan

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page