Ketika sesuatu jawatankuasa program berdiskusi untuk menjayakan visi dan misi program, apa fokus kita pada dasarnya?
Sekiranya ia merupakan wacana sesuatu isu semasa, mungkin fokus kita adalah penyampaian isu itu sendiri.
Sekiranya ia adalah bengkel penulisan, mungkin fokus kita adalah input penulisan itu sendiri.
Sekiranya ia adalah satu program "hard talk", berkemungkinan besarnya adalah, kita cenderung untuk memikirkan hal-hal pengurusan program seperti token, dekorasi, hal-hal teknikal, perhubungan awam, dan sebagainya. Selain isu yang dikupas itu sendiri.
Apakah terdetik dalam fikiran kita, adakah program ini memperkasa lelaki? Adakah program ini memperkasa perempuan? Adakah usaha ini memberdaya potensi bakal ketua keluarga atau pemimpin di masa depan? Adakah program ini memperkasa pemberdayaan wanita hari ini?
Sesuatu program berorientasikan pemerkasaan intelektual, pada dasarnya, fokus kita akan berlegar di ruang isu itu sendiri.
Tetapi dari segi pembangunan sesuatu jantina dan keperluan sesuatu jender hari ini, kebiasaannya ia tidak akan menjadi fokus nombor satu kita dalam program atau usaha-usaha yang tidak berorientasikan pemberdayaan jender.
Apa perlunya pemberdayaan berfokus jantina? Pemberdayaan siswa dan siswi? Bukankah dalam sesuatu program, ada kedua-dua jantina itu sekali?
Bagaimanakah bentuk pemberdayaan berfokus jantina?
Beberapa minggu ini, Jawatankuasa Hal Ehwal Siswi (JK HEWI) Persatuan Belia Harmoni cawangan Gombak berhempas pulas merangka pelan jangka masa pendek dan panjang bagi pelan operasi jawatankuasa yang baru ditubuhkan ini.
Bagi JK HEWI, pemberdayaan siswi tidaklah hanya berhenti pada pengurusan program sahaja. Tetapi kita berusaha untuk tackle segala isu berkaitan wanita dari bawah; apakah keperluan mandiri seorang wanita yang sedang menongkah arus milenial? Apakah cabaran menjadi anak perempuan solehah pada era ini? Apakah keperluan dan halangan wanita di alam kerjaya dan bidang professional? Mengapa, walaupun di peringkat menara gading, angka pelajar siswi begitu ramai jauh menandingi lelaki, namun di alam kerjaya, yang sebaliknya terjadi?
Apakah punca kes-kes cerai dan tuntutan di mahkamah syariah mengambil masa begitu lama dan bagaimana ia memberi kesan yang parah pada wanita? Bagaimana kurangnya persiapan dan kefahaman ilmu dalam melangkah ke alam pernikahan menjadi faktor kepada perjalanan kes cerai yang lama? Bagaimana kita dapat menangani isu ini dengan mempersiapkan wanita dengan ilmu yang cukup, yang faham hala tuju keluarga yang bakal dibina, dari segi agamanya, ilmu munakahatnya, ilmu keibubapaannya, ilmu pengendalian rumahtangganya, ilmu psikologi dan komunikasinya, ilmu kewangannya… agar semua ini menjanjikan institusi kekeluargaan yang lebih stabil?
Kita mungkin tak mampu menjamin end-result yang memberi penyelesaian kepada semua masalah semudah itu.
Kita hanya mampu merancang dan memperkasakan siswi pada wilayah yang termampu, menggunakan sumber, peluang dan masa yang ada di kampus, sebelum bergraduasi dan meneruskan gerak kerja pemberdayaan dan advokasi di luar sana nanti.
Ia adalah usaha menuju satu matlamat: memberdaya wanita dari segi sahsiah dan peribadi, intelektual dan rohani, kerjaya dan kepimpinan, kewangan dan kekeluargaan, dan penglibatan dalam masyarakat di pelbagai peringkat.
Kita kaji lagi isu wanita di kampus – sebagai pelajar, apa masalah yang mereka hadapi? Isu curfew? Isu sakit senggugut yang begitu meluas di kalangan generasi ini dan kesusahan menghadiri kelas disebabkan permasalahan ini? Isu kebajikan pelajar perempuan yang hamil semasa belajar di kampus? Tidak dilupakan juga, didikan mengambil cakna dan bersuara untuk kaum wanita yang tertindas dan disiksa di negara luar sana.
Pentingnya menangani isu berbangkit dan berkaitan gender sebenarnya.
Allah menjadikan kita berlainan jantina, bersamanya, adalah cabaran hidup yang berkaitan dengan hidup kita sebagai lelaki atau perempuan.
Kita belum ada Jawatankuasa Hal Ehwal Siswa. Mungkil janggal didengari di telinga. Pun begitu, sememangnya tak dapat dinafi, ia juga satu keperluan.
Dalam sesebuah keluarga, tetap saja ada seorang suami, selain isteri.
Tidak kira sebaik mana pun seorang isteri yang berdaya, tetapi sekiranya seorang lelaki tidak memperkasakan dirinya dengan ilmu, bahtera rumahtangga tetap akan diuji dengan kemelut ketidaksefahaman berpunca dari kedangkalan ilmu.
Biarpun setinggi mana motivasi dan mandiri seorang wanita di alam kerjayanya, sekiranya ia dikuasai oleh lelaki yang memandang rendah pada kepimpinan wanita, wanita tetap akan menongkah alam kerjaya yang mendiskriminasi dirinya meskipun meritnya menyatakan ia berhak untuk memimpin.
Tambahan pula, menjadi lelaki di era milenial juga tidak mudah. Bukan saja lelaki perlu menjadi sebahagian dari usaha pemberdayaan wanita, tetapi lelaki juga, mempunyai isu berkaitan jendernya untuk ditangani.
Misalnya, apakah faktor lelaki begitu sedikit di alam universiti? Bagaimana ingin memecah tembok kursus yang didominasi siswi? Apakah sebabnya di majlis ilmu begitu ramai perempuan berbanding lelaki? Bagaimana ingin membantu lelaki agar lebih mengambil tahu tentang ilmu munakahat? Bagaimana ingin memecah persepsi 'lelaki mesti kuat' dalam erti kata ia tidak boleh tunjuk ia lemah dan menangis? Bagaimana caranya kita menangani isu kesihatan mental di kalangan lelaki?
Menjadi lelaki di era ini punya cabarannya.
Tugas kita akan lebih tersusun dan berstrategi dalam rangka pemberdayaan yang berfokus jender bagi menangani permasalahan sebegini, bukan? Kita akan dapat kesan isu-isu berkaitan, dari kaca mata gender.
Mungkin, ada pendapat lain boleh membangkang pandangan ini: kita boleh lakukan semua ini dalam jawatankuasa sedia ada tanpa jawatankuasa berfokus jender, seperti jawatankuasa dakwah dan tarbiyah, akademik dan intelektual, yang boleh membedah isu-isu sosial di kalangan remaja contohnya. Namun hakikatnya, usaha sebegini akhirnya akan berfokus kepada remaja sebagai satu kumpulan, bukan lagi kumpulan jender itu sendiri.
Tulisan ini bukan memperkecilkan usaha memberdaya akademik, intelektual dan tarbiyah yang tidak berfokus jender, tidak.
Tulisan ini ingin membangkitkan keperluan pembangunan berfokus jender, seiring dengan usaha pembangunan secara kolektif dari aspek yang sama.
Sekiranya JK HEWI Harmoni UIAM Gombak mengkaji isu jurang jender bagi wanita di alam kerjaya, dalam politik, dan sebagainya, lelaki juga tentunya ada isu gender gap tersendiri di situasi dan tempat lain. Tetapi menjadi fokus JK HEWI yang mendefinisikan pembawaannya untuk memberdaya perempuan, maka kami terbatas untuk mengkaji gender gap berkaitan lelaki pula. Seharusnya, usaha ini diambil alih oleh taskforce lain, bagi menjanjikan pelan perancangan khusus yang dianggotai lelaki sendiri.
Tidak timbul isu gender mana yang lebih urgent untuk diberdayakan. Usaha ini perlu dilakukan seiringan. Pemberdayaan siswi dimulakan antaranya kerana wanita, sudah lama dilimitasikan kebolehannya kerana budaya yang memperincikan wanita mengikut norma sosial yang tidak semestinya dijustifikasikan agama, cuma ramai yang tersalah faham ianya adalah berdasarkan prinsip agama.
Tetapi pada saya, pemberdayaan siswa juga kini menjadi sangat urgent. Ini kerana, pembangunan dan pengislahan diri kelihatannya semakin menjadi ekslusif pada mereka yang aktif berpersatuan, ke tamrin jemaah, sedangkan lelaki di luar sana, yang tidak berkesedaran akan pembangunan dirinya, akan pembangunan kaum jantinanya, akan statistik berkaitan lelakinya, tidak ada rasa perlu untuk bergerak sama membina dan mengubah apa-apa, hingga kita berterusan bergerak, siswa dan siswi terus berjalan, namun perancangan pembangunan jantina kita, berterusan kita lupakan.
Ia signifikan dan menyumbang kepada gender gap dari segi ilmu, pembangunan diri, masyarakat, dan ummah pada peringkat antarabangsa.
Saya menyeru semua siswa dan siswi, usahakan pembangunan ahli dan bukan ahli yang berfokus pada cabaran berkaitan jender, sesungguhnya terlalu banyak isu yang kita sejantina hadapi di peringkat personal, keluarga, kampus, nasional dan antarabangsa, tanpa kita sedari.
Penulisan oleh Iffah Nabiha
Commenti