Abdul Malik atau nama penanya yang lebih dikenali kita sebagai HAMKA ialah seorang tokoh Nusantara yang masih acap disebut-sebut masyarakat meski pemergiannya hampir 40 tahun berlalu. Adat orang yang berjasa, meski jasadnya telah dimamah tanah tetapi namanya masih basah di bibir-bibir orang yang masih hidup. Berbagai gelaran diberikan pada sosok ini sesuai kewibawaannya, baik ulama’, sasterawan, sejarawan, mahupun pejuang bangsa dan negara. Jendela gelaran yang berbeza-beza ini jika diteliti sebenarnya terhasil kerana sosok HAMKA itu sendiri merupakan seorang lelaki yang teguh baik jasmani, rohani apatah lagi keintelektualannya serba cerdas. Justeru, sisi HAMKA sebagai seorang lelaki semata-mata tanpa diberikan gelaran yang variasi harus digaris tebal oleh masyarakat agar sosok ini tidak janggal untuk kita kenali sebagai seorang lelaki yang baik seterusnya menjadi contoh buat para lelaki yang lain.
Menjadi lelaki bercerminkan HAMKA ialah hasil pembacaan penulis terhadap buku Inspirasi HAMKA; Seruan Lelaki Budiman terbitan Jejak Tarbiah, di mana penulis ingin membawa pembaca lelaki khususnya dan perempuan amnya untuk melihat HAMKA sebagai seorang lelaki yang faham kewajipan dan peranan lelaki terutamanya sebagai ketua, pembimbing dan pelindung perempuan selaras tuntutan agama Islam.
Lantas, apakah sikap-sikap lelaki yang ada pada HAMKA dan wajar dicontohi lelaki-lelaki lain dalam membentuk lelaki yang baik pada era moden ini?
Pertama: Mencintai Ilmu dan Tekun Menelaahnya
HAMKA bergelar ulama’ pasti kerana ilmu agamanya yang kemas, di mana beliau mendapat ajaran agama sedari kecil melalui berbagai guru termasuk ayahnya sendiri iaitu Abdul Karim. Jika kita telusuri sejarah kehidupan sosok ini akan didapati bahawa HAMKA pada awalnya seorang kanak-kanak nakal dan pernah ponteng sekolah kerana tidak suka akan sistem hafalan yang perlu ditempuhinya, namun ketika beliau menginjak remaja, satu keputusan besar telah dibuat oleh dirinya sendiri iaitu untuk mengembara ke Mekah bagi menuntut ilmu agama.
Perjalanan HAMKA ke Mekah dihidangkan dengan satu tawaran yang sukar ditolak lebih-lebih lagi pada usianya yang masih muda. HAMKA ditawarkan untuk berkahwin dengan seorang gadis ketika beliau berada di atas kapal berbulan-bulan untuk tiba ke Mekah. Gejolak cinta dan goncangan nafsu yang hebat pasti akan memilih perkahwinan yang telah tersedia di hadapan mata berbanding keteguhan dan kesabaran memilih jalan menenggelamkan diri dalam lautan ilmu. Tawaran perkahwinan ditolak HAMKA meski berkahwin di atas kapal pada waktu itu sebenarnya satu kebiasaan lantaran perjalanan yang cukup lama. HAMKA berpegang teguh pada janji yang telah dibuat dengan dirinya sendiri. Dia ingin merealisasikan impian ayahnya yang mahukan seorang Abdul Malik belajar di Tanah Suci Mekah.
Jelas dapat kita pelajari bagaimana seorang lelaki yang dipanggil HAMKA ini mendahulukan ilmu ketika usianya yang memang perlu dihabiskan dengan menelaah ilmu melebihi kehendak nafsunya sendiri. Perkahwinan bukanlah kita katakan sebagai penghalang seseorang menuntut ilmu kerana menuntut ilmu itu satu kewajipan selagi kita masih hidup dan berkahwin juga satu galakan dalam agama. Namun kerana keadaan diri HAMKA sebelum mula belajar di Mekah sangat dangkal ilmu agamanya sehingga ditegur oleh ayahnya sendiri menyebabkan sosok ini bertekad untuk memperteguhkan diri dengan ilmu terlebih dahulu sebelum memindahkan diri ke alam perkahwinan.
Hasil keteguhan HAMKA untuk menelaah ilmu agama terzahir sepulangnya beliau ke kampung dan berkhidmat untuk masyarakat sehingga barulah ayahnya mengakui kewibawaan HAMKA dan senang duduk kerana telah yakin bahawa perjuangan yang dibawanya akan disambung oleh anaknya yang seorang ini.
Kerana itu, seorang lelaki terutamanya pemuda perlu menghitung-hitung diri mereka dari segi kedalaman ilmu agama khususnya sebelum ingin merasai kemanisan berumah tangga. Maksud mendalami ilmu agama bukanlah sehingga seorang lelaki itu perlu menjadi ulama’ tetapi cukup dengan mempunyai pengetahuan tentang ilmu agama yang asas agar bahtera rumah tangga kelak dapat dipandu atas dasar iman dan berdayungkan ilmu. Proses menuntut apa sahaja ilmu sebenarnya satu proses yang berterusan dan hanya akan berakhir dengan kematian.
Mengapa seorang lelaki perlu mendalami ilmu agama? Adakah penulis menyempitkan tuntutan ini kepada lelaki sahaja tanpa mendatangkan keperluan perempuan juga untuk faham agama?
Sama sekali tidak. Lelaki dan perempuan masing-masing perlu memberdayakan diri dengan ilmu agama, tetapi kita perlu merujuk kembali peranan seorang lelaki sebagai ketua ke atas perempuan. Apabila digalaskan dengan peranan ketua, maka lelaki perlu mempersiapkan diri dengan ilmu ini. Peranan lelaki sebagai ketua akan mulai pudar dan dilupakan apabila mereka tidak merasakan keperluan menguasai ilmu agama bagi membimbing perempuan kerana pada akhirnya mereka tidak akan mampu membimbing dan bertindak sebagai ketua buat perempuan jika diri mereka sendiri kosong perihal agama.
Kedua: Tajam Kepekaan dan Pantas Menghulurkan Bantuan
Ciri ini akan kita temukan pada watak lelaki yang dicipta HAMKA dalam karya roman Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck iaitu Zainudin. HAMKA menyampaikan satu pesanan halus buat para lelaki dengan menghiasi watak Zainudin ini dengan beberapa ciri lelaki yang baik. Dapat kita lihat bagaimana Zainudin ini pantas menghulurkan bantuan kepada Hayati dan Aziz ketika mereka kesusahan meski antara mereka tiada langsung apa-apa hubungan kekeluargaan. Kepekaan Zainudin terhadap perempuan yang memerlukan bantuan dan perlindungan menolaknya untuk tidak kekok berbuat demikian.
Jika kita perhatikan juga sebenarnya kebanyakan karya HAMKA lebih-lebih lagi novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Di Bawah Lindungan Kaabah ialah hasil gubahan perasaan HAMKA sendiri yang mengalami rasa cinta ketika usianya sedang dalam fasa inginkan kasih sayang dari berlainan jantina. Karya HAMKA dan watak yang dicipta merupakan refleksi dirinya, di mana dapat kita fahami watak Zainudin itu sedikit sebanyak menggambarkan diri HAMKA di dunia realiti.
Seorang lelaki yang faham peranannya sebagai pelindung perempuan memang akan tajam kepekaannya terhadap sekeliling dan tidak berat dan lambat anggota tubuhnya bergerak untuk melindungi dan membantu mana-mana perempuan yang memerlukan bantuan sekalipun perempuan itu ialah orang asing dan bukan ibu, kakak atau adiknya. Peranan pelindung tidak hanya dituntut untuk perempuan yang dikenali dan punya pertalian kekeluargaan sahaja tetapi buat seluruh perempuan. Hal ini turut dapat kita pelajari dari kisah Nabi Musa A.S yang pantas menawarkan diri untuk membantu dua orang gadis yang ingin memberi minum pada haiwan ternakan mereka. Kedua-dua orang gadis itu ialah orang asing bagi Nabi Musa tetapi kerana baginda faham akan peranannya sebagai pelindung perempuan, segeralah baginda menghulurkan bantuan tanpa berdalih dan banyak soal. Adab ketika membantu perempuan asing ini juga dipamerkan oleh Nabi Musa dengan tidak memanjangkan perbualan sesama mereka kecuali pada perkara yang penting sahaja dan terus beredar usai tanggungjawab dilaksana.
Ketiga: Bijak Mengurus Emosi dan Menghormati Perempuan
Kita jenguk lagi karya roman HAMKA iaitu Di Bawah Lindungan Kaabah di mana Hamid membawa diri ke Mekah setelah menyangka perempuan yang dicintainya iaitu Zainab akan dikahwinkan dengan lelaki pilihan keluarga. Tujuan Hamid membawa diri ke Mekah demi kebaikan kedua-dua pihak. Dia tidak mahu emosi Zainab dan emosinya terdera disebabkan masing-masing tidak dapat meneruskan hubungan percintaan yang disimpan lama. Di samping Hamid juga begitu menghormati Zainab yang disangkanya akan bergelar isteri orang dengan tidak mahu lagi menganggu atau menjadi seperti orang ketiga untuk hubungan Zainab dan lelaki yang bakal dikahwinkan dengan cinta hatinya.
Sungguh cerdik HAMKA menunjukkan sikap lelaki yang baik dengan menjadikan Hamid sibuk mendekatkan diri dengan Allah setelah dia tiba di Mekah sebagai pengubat atau cara menangani emosi yang sedikit terguris kerana tidak dapat beristerikan Zainab. Hamid tidak berbuat jahat kepada Zainab dan tidak juga merosakkan dirinya sendiri dengan terus melayan kesedihan yang tidak berpenghujung.
Keempat: Tegas Dalam Hal Ehwal Agama
Watak Zainudin dibawa lagi untuk menunjukkan sikap seorang lelaki yang faham tanggungjawabnya sebagai pembimbing perempuan. Zainudin begitu halus dan berani menegur cara pemakaian Hayati yang terikut-ikut arus modenisasi sehingga terdedah bahagian-bahagian seorang perempuan yang lebih mulia diselindungkan. Kecantikan seorang perempuan bagi Zainudian bukan hadir dari pakaian yang dipakai tetapi kecantikan itu telah ada semenjak seorang perempuan dilahirkan. Justeru, selain Zainudin ini menggariskan watak lelaki yang bijak membezakan antara kecantikan sebenar dan palsu, dia juga tegas memelihara ajaran agama yang hampir diruntuhkan Hayati.
Seorang lelaki yang tidak memandang enteng tangunggjawabnya sebagai pembimbing, sama sekali tidak akan memandang enteng juga pada mana-mana perlakuan yang tidak selaras dengan ajaran agama. Lelaki sebegini tidak ragu-ragu untuk bersikap tegas ketikamana dia mendapati perempuan, baik yang berada bawah jagaannya mahupun hanya sekadar teman yang mula terlucut rasa malunya. Bagi lelaki ini maruah seorang perempuan itu perlu dipelihara, lalu tepancarlah ketegasannya pada waktu yang menuntut dia bertegas.
Kelima: Memahami Kehalusan Perasaan Seorang Perempuan
HAMKA menjadi seorang HAMKA antara faktornya ialah keadaan keluarganya yang tidak begitu indah untuk dinikmati sebagai seorang kanak-kanak. Ayah HAMKA telah berkahwin dua lalu menyebabkan ibu HAMKA begitu terseksa batinnya. Air mata sering mengalir membasahi wajah ibunya menyebabkan HAMKA begitu faham akan kehalusan perasaan seorang perempuan dan berazam untuk tidak melukai perempuan sewenang-wenangnya. Ketika HAMKA telah beristerikan Siti Raham, ayahnya pernah meminta HAMKA berkahwin dua, tetapi HAMKA menolak. Pengalaman sewaktu kecil dahulu mengajar sosok ini untuk tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama di mana natijahnya akan mengores kehalusan perasaan seorang perempuan. HAMKA tidak mahu isterinya menangis berpanjangan seperti yang dialami ibunya dahulu, maka beliau tidak berkahwin lain melainkan setelah kematian isterinya itu.
Begitu sosok HAMKA ini mengajar para lelaki untuk menjadi lelaki yang cakna akan kehalusan perasaan seorang perempuan, meski berkahwin dua itu dibenarkan Islam dan boleh jadi satu peluang yang membahagiakan buat seorang lelaki. Namun, keinginan diri diketepikan agar tiada perempuan yang bakal berasa sepi.
Kesimpulannya, lelaki yang baik itu ialah lelaki yang sentiasa mengulang rujuk pada peranan dan tanggungjawab yang digalas mereka dalam apa sahaja keadaan. Lelaki yang baik itu juga yang tidak tergesa-gesa berbuat keputusan sebelum menimbang baik buruk untuk sekeliling. Dasarnya memang mereka faham peranan dan tanggungjawab mereka. Moga terbentuk seorang lelaki bercerminkan HAMKA buat masyarakat amnya.
“ Sungguh, pada setiap tokoh itu ada sisi yang dapat kita teladani dan HAMKA antara tokoh yang wajar dipelajari.”
Oleh
Umi Khairunnisa Mohd Ali
Kolumnis Auctor
Comments