top of page
Writer's pictureKolumnis Auctor

Perjuangan Kartini Bermula Dari Rumah - Shakirah Sharifuddin

Tanggal 21 April merupakan Hari Kartini yang disambut oleh seluruh warga Indonesia. Tujuan tuntas sambutan ini adalah untuk memperingati dan menyingkapi kembali lipatan sejarah perjuangan RA Kartini membangkitkan semangat perempuan Indonesia. Raden Adjeng Kartini merupakan seorang wanita yang lahir dalam kalangan golongan bangsawan. Disebabkan hal itu, beliau dibenarkan bersekolah di sebuah sekolah rendah Eropah dan di situlah beliau mempelajari serta menguasai bahasa Belanda.


Namun ketika menginjak usia 12 tahun, Kartini diberhentikan sekolah kerana beliau bakal dipingit. Hal ini kerana menurut orang Jawa, perempuan harus tinggal di rumah untuk tahu mempelajari selok belok dunia perkahwinan. “Minda emansipasi” bukan suatu perkara yang lazim bagi masyarakat Jawa pada peralihan abad ke-19 dan awal abad ke-20.


Perjuangan ibu Kartini dalam emansipasi perempuan tidak perlu dihurai panjang lagi kerana sejarah telah merakam kelantangan beliau yang menggertak kebisuan Indonesia dalam hal kewanitaan yang dirantai dari kehidupan bebas di luar rumah, bersuara tentang hak yang sama di hadapan hukum dan dinafikan hak bersekolah tinggi. Wanita dalam neraca Indonesia ketika itu hanya semata diciptakan untuk pernikahan.


KARTINI, LELAKI DAN RUMAH

Perayaan Hari Kartini pada 21 April bukanlah untuk kita memuja sosok tubuhnya; tetapi yang lebih penting adalah untuk mengambil dan mengangkat semangat perjuangan Kartini dalam mengubah usang adat dan pesong budaya orang Indonesia tentang wanita.

Apapun jua perkara yang dibincangkan tentang Kartini, kita harus ingat bahawa perjuangan Kartini mengubah adat yang lapuk dan melawan mentaliti kolot sebenarnya bermula dari rumah dan ia didukung bukan dari kalangan wanita sahaja.


Jika kita telusuri adat masyarakat ketika itu, walaupun ibunya masih dikaburkan dengan ajaran kolot namun abangnya, RM Sosrokartono, telah menjadi antara watak penting dalam perjalanan perjuangan emansipasi Kartini.


Sosok lelaki ini menjadi inspirasi RA Kartini. Beliau sentiasa meniup api semangat Kartini untuk terus melanjutkan pendidikannya sedari Kartini di usia muda. RM Sosrokartono yang menguasai bahasa Perancis turut menurunkan ilmu tersebut kepada adik-adiknya. Setelah menikah, suaminya Adipati Ario Adhiningrat, turut memiliki sifat moderat dan mendukung upaya Kartini membangun sekolah bagi kaum perempuan.


Perjuangan emansipasi wanita bukanlah perjuangan wanita sahaja tetapi ia juga memerlukan penglibatan ‎lelaki. Dan yang lebih penting, pendidikan peka gender perlu bermula dari rumah. Anak-anak kecil perlu diasuh dan dididik tentang nilai-nilai kemanusiaan tanpa mengelaskan agama, bangsa mahupun gender. Pendek kata, mentaliti stereotaip dan diskriminasi gender ini perlu diubah bermula dari ahli keluarga sendiri.


KITA HARI INI

Masalah yang dilalui Kartini pada masa lampau sebenarnya masih lagi menjadi suatu masalah yang berakar hingga ke hari ini. Masih ada masyarakat yang memandang remeh keupayaan dan potensi wanita, memandang wanita sebagai manusia kelas kedua dan masih lagi menidakkan hak wanita di hadapan hukum. Ya, mungkin tidaklah seteruk pada zaman itu, tetapi kita harus akui diskriminasi itu masih wujud.


Perubahan mungkin mengambil masa yang lama. Tetapi kita perlu mengambil semangat Kartini untuk terus mendidik masyarakat serta melawan norma songsang yang tidak diajar oleh Syariat. Jika kita tidak menjadi Kartini pada hari ini, anak cucu kita mungkin mengulangi sejarah hitam yang pernah dilaluinya dulu.

Kata Kartini: “ Gadis yang pikirannya sudah dicerdaskan, pemandangannya sudah diperluas, tidak akan sanggup lagi hidup di dalam dunia nenek moyangnya.


oleh

Shakirah Sharifuddin



154 views0 comments

Comments


bottom of page