Ramai berpendapat pesakit mental seorang yang berbahaya sehingga boleh bertindak ganas mencederakan atau membunuh. Terdapat stigma sosial yang besar berkaitan penyakit mental. Pendirian budaya yang dibentuk dan kepercayaan tahyul merupakan salah faham adalah punca utama. Stigma ini perlu dipadam sama sekali. Persepsi negatif ini menyebabkan pesakit mental menderita secara senyap tanpa diketahui sesiapa pun, dan tiada harapan walaupun mendapat bantuan, menerusi pemulihan bersama pakar di hospital.
Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan, penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar membahayakan rakyat negara ini selepas penyakit jantung menjelang 2020. Kira-kira 30 peratus populasi rakyat di negara ini mengalami masalah penyakit mental adalah wanita. Gangguan mental akan menyebabkan wanita mudah berhadapan dengan kemurungan sehingga mendorong mereka untuk membunuh diri. Hal ini demikian kerana wanita lebih mudah mengalami gangguan mental berpunca daripada tekanan di dalam perhubungan bersama pasangan, bebanan kewangan dan masalah kekeluargaan seperti isu perkahwinan.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Ng Chong Guan, ramai pesakit mental enggan mendapatkan rawatan disebabkan malu dan merasakan mereka tidak sakit. Kebanyakannya lebih gemar menyimpan masalah, tidak mahu berkongsi dengan keluarga atau rakan sehingga akhirnya tekanan sukar dikawal. Ada pula bertindak ganas dengan mencederakan diri sendiri. Dalam hal ini pesakit tidak perlu malu atau risau rekod mereka didedahkan kepada majikan kerana semuanya dirahsiakan dan hanya didedahkan sekiranya mendapat kebenaran bertulis daripada pesakit, itupun di dalam bentuk laporan kesihatan. Masyarakat juga perlu disedarkan bahawa semua pihak bertanggungjawab membantu individu yang berada dalam krisis gangguan kesihatan mental. Pesakit tidak seharusnya dibiarkan, sebaliknya ahli keluarga atau rakan perlu membawa mereka bertemu pakar psikiatri secepat mungkin.
Kesimpulannya, stigma terhadap permasalahan ini perlu dihapuskan. Sudah tiba masanya masyarakat yakni rakyat Malaysia membuka mata dan cakna terhadap isu berkenaan penyakit mental ini. Kematian yang berpunca daripada bunuh diri adalah yang kedua tertinggi selepas kemalangan maut dijalan raya. Oleh itu, mari sama-sama kita bertanggungjawab untuk menolong mereka berperang dengan penyakit ini. Kerna mereka juga insan yang berhak mendapat peluang untuk hidup secara normal dan bebas dari sakit ini.
Comments