top of page
Writer's pictureKolumnis Auctor

Kebanjiran Isu dan Krisis: Mana Harus Kita Berpaut? - Ajwadsr

Updated: Apr 21, 2020

Tahun 2020 nyatanya bukanlah berkisar kereta terbang, Malaysia sebagai pusat ekonomi serantau mahupun nama pertiwi kita menghiasi bibir masyarakat dunia sebagai ‘negara maju’. Tidak sama sekali. Juga bukan berkisar sebuah dunia yang lebih bebas pandemik, bebas perseteruan antarabangsa, bebas ekstremisme dan bebas pembunuhan alam.


Lalu apa yang dipersembahkan kepada kita hanya dalam 2 purnama singkat ini? Awal sekali, kita sudah pun dimomokkan dengan ura-ura bakal tercetusnya perang dunia ketiga. Masakan tidak, pembunuhan Qassem Soleimani di Baghdad sememangnya jelas tindakan ‘suis pemula’ untuk Tehran mengisytihar balas dendam yang telah lama disimpan terhadap Washington. Pastinya kita sebagai marhaen sekalipun faham, perang antara 2 negara pemilik senjata berbahaya dunia ini tidak akan berakhir indah dan hanya melibatkan mereka. Geopolitik sememangnya unik dan aneh sifirnya, tidak terjangka.


Kita juga disapa ‘mesra’ virus-virus yang berbahaya terhadap kesihatan. Virus kuno yang dianggap sudah sirna seperti polio membuat ‘comeback’ secara dramatik selepas 27 tahun dilupakan. Akhir 2019 gempar kemunculannya di Filipina malah akhirnya pada 8 Disember 2019 kes pertama direkodkan di Malaysia selepas sekian lama ia menghilang. Kemudian Influenza A (H1N1) pula. Terbaru, virus novel Corona (Covid-19) yang berasal dari Wuhan, China pula menumbuhkan panik dalam diri masyarakat dunia. Virus yang bermula simptomnya dari batuk dan kesusahan bernafas yang akhirnya boleh membawa maut. Ia justeru mengkhuatirkan masyarakat dek kepantasan kadar penyebaran, namun tidaklah diisytihar pandemik buat masa sekarang.


Hampir terlupa, kebakaran hutan dahsyat yang berlaku di Australia tahun ini sememangnya bukan calang-calang isu, dek kerana statusnya yang ‘unprecedented’ dan luar jangkauan. Kebakaran hutan di Australia justeru bukanlah hal yang terlalu asing, tetapi skala kebakaran musim ini melebihi jangkaan, dengan sekurang-kurangnya 25.5 juta ekar liputan kawasan kebakaran (sebesar Korea Selatan) dan 33 kematian jiwa direkodkan, serta 1 billion mamalia, burung dan reptilia kehilangan nyawa (anggaran oleh Universiti Sydney). Kolden (Assoc Prof of Forest, Rangeland and Fire Sciences di University of Idaho) berkata kebakaran ini justeru kesan jelas perubahan iklim yang sangat tidak stabil menyebabkan keseriusan tahap kebakaran ini tidak dijangka.


Terbaru dan paling ‘mengujakan’, polemik politik tanahair yang telah menyaksikan gerakan beberapa ahli parlimen membentuk gabungan baharu dengan usaha mengisytihar majoriti dan membentuk kerajaan persekutuan baru. Isu ini justeru amat dinamik kerana ia melibatkan asas-asas pembentukan kerajaan melalui ruang lingkup seperti yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, lalu banyak pihak terlibat terutamanya ahli-ahli parlimen secara keseluruhannya dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam rangka kerja menentukan siapakah yang layak diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia, lalu mengemudi Kabinet Jemaah Menterinya mentadbir pertiwi sebagai eksekutifnya.


Banyak bukan? Kita justeru tenggelam dalam kepelbagaian isu. Luar, dan dalam. Politik, antarabangsa, alam sekitar, kesihatan, sebutkan saja semuanya ada. Namun disebalik kesemua isu ini apa yang kita belajar? Apa yang kita pegang? Apa yang kita boleh lakukan? Benar, jawapannya bergantung kepada status kita. Kita mahasiswa? Guru? Ibu bapa? Dekan? Pengusaha restoran? Ahli parlimen? Kerani?


Sungguh pun begitu, di sebalik kebergantungan respon kita terhadap status kita, ada persamaan antara kita semua dalam mendepani semua isu, merentas semua jenis pekerjaan dan kedudukan kita. Apa pun yang datang menjengah, besar kecil ia, kita semua ada tempat berpijak yang sama. Biarlah dengan rendah hati saya mengutarakan jawapan ini. Walau siapa pun kita, walau apa jua isu yang menyambar, kita harus kekal manusia berprinsip. Ya, prinsip. Kita perlu menjadi manusia fundamentalis dalam dunia yang teramat progresif dan dinamik ini.


Apa asas yang membentuk prinsip? Pertama dan selamanya, ketahuilah kita manusia yang bertuhan. Agama ini turun sebagai jalan hidup, bukan sekadar jalan ritual. Apa-apa yang tidak selari dengan pegangan agama kita justeru pantas ditolak. Tidak, ini bukanlah kenyataan pentaksub. Kita malah diajar hormat dan harmoni pada agama lain, namun tidak juga bermakna menggadai semua nilai agama kita. Kita tetap manusia yang mentauhidkan Allah, dalam mencari jalan paling toleransi antara agama. Kita tetap umat Muhammad SAW, dalam menyambut modenisasi. Teman, jika tergadai yang ini, tiada nilai diri kita.


Kedua, kita harus ingat kita hidup bernegara. Keutamaan negara harus juga menjadi keutamaan kita. Keselamatan negara, keharmonian dan kestabilan politik, sosial, ekonomi dan kebajikan negara, perlu jadi matlamat semua rakyat yang berpegang pada rukun negara.


Ketiga, akhirnya persamaan paling asas kita semua ialah kita semuanya manusia. Manusia dan kemanusiaan itu bergerak selari, tidak boleh berpisah. Bagaimana kita boleh memanggil diri kita manusia tanpa ada perikemanusiaan pada diri kita?


Berbekalkan ketiga-tiga asas ini, kita lebih tenang dalam menanggapi isu. Kita lebih yakin dan jelas hala tuju dan resolusi yang harus diambil buat menyelesaikannya, walau apa jua status kita. Jika yang datang kepada kita berita konflik antarabangsa, dan kita sebagai mahasiswa, kita justeru akan berpegang bahawa peperangan perlu dielakkan kerana ia akan meragut nyawa, menjejaskan ekonomi dan mengakibatkan ketidakstabilan politik, dan memperbaiki keadaan seupaya kita, iaitu contohnya dengan memastikan sentimen-sentimen menyemarakkan perang tidak berlegar di ruang kampus kita. Status dan prinsip. Dua hal ini bakal menunjukkan jalan apa yang boleh dan perlu kita ambil.


Jika yang tiba berita isu kesihatan, kita menyatakan sokongan terhadap Kementerian Kesihatan atas langkah pencegahan yang diambil, dan mengelakkan diri menyebarkan berita palsu. Lalu di mana prinsip agamanya, kata mereka? Bukankah kita diminta mengesahkan dahulu semua berita sebelum menyebarkannya, hingga terdapat hadis daripada Hafsh bin Ashim, dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW baginda bersabda, “Cukup seseorang dikatakan dusta, jika dia menceritakan segala apa yang dia dengar” (Hadis riwayat Muslim No.5).


Jika yang datang hal politik, maka antaranya berpeganglah pada konsep bernegara. Kita punya Perlembagaan Persekutuan, dokumen undang-undang yang paling tinggi statusnya. Kita perlu mengutamakan kebajikan rakyat, jadi hasil kemelut politik ini perlulah berakhir dengan keputusan yang terbukti akan menguntungkan rakyat. Di sinilah prinsip memainkan peranannya. Sokongan dan apa peranan kita, itu bergantung status kita.


Akhir kata, tiadalah prinsip tanpa pengetahuan. Kerana itu, jadilah manusia yang mengimani firman Tuhan, “Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan”. Baca, dan berfikirlah. Itu yang membezakan kita dengan haiwan, bak nukilan Syed Naquib Al-Attas bahawa kita ialah haiwan yang berfikir. Baca, fikir, dan berpeganglah pada prinsip. Ya, prinsip. Itulah bahtera tempat kita berpaut dalam kebanjiran isu dan krisis. Selamat menghadapi baki 2020, dengan menjadi manusia berprinsip.


377 views0 comments

Comments


bottom of page