Istilah graduan menganggur sangat luas hari ini sehinggakan ada yang merasa tiada tujuannya untuk belajar tinggi-tinggi semata-mata untuk pekerjaan. Tambahan lagi dengan krisis ekonomi yang berlaku hari ini, ramai orang telah dibuang kerja.
Sama-samalah kita hadapi realiti: Pekerjaan tidak boleh menjanjikan kesenangan seperti mana kata-kata manisnya yang dahulu memujuk kita. Sebuah kajian oleh Kisi mendapati Kuala Lumpur di tangga ke-4 untuk bandar-bandar paling banyak bekerja. Namun, gaji rakyat masih tidak berubah.
Kita perlu fikir ke hadapan: Jika semua orang hendak menerima pekerjaan, maka siapa yang hendak menciptakannya? Akhirnya apabila semua orang mengikuti jalan yang ‘dijanjikan’ kejayaan (baca: degree), ia akan menyebabkan inflasi permintaan pekerjaan- itulah yang berlaku hari ini. Kita (sekurang-kurangnya beberapa di antara kalangan kita) perlu fikir melepasi mentaliti ini, iaitu daripada hanya mencari pekerjaan kepada mencipta pekerjaan juga.
Mencipta pekerjaan bukan sesuatu yang mementingkan diri sendiri, bukanlah sesuatu yang dianggap ‘money-minded’ atau ‘capitalist-minded’. Mereka yang mencipta pekerjaan bukan hanya membantu diri mereka sendiri, mereka juga membantu orang lain (melalui pekerjaan) dan membantu ekonomi yang lain. Tahukah anda, PKS (perniagaan kecil dan sederhana/SME) bertanggungjawab untuk hampir 36% daripada KDNK negara, 65% pekerjaan negara, dan hampir 18% eksport Malaysia.
Keusahawanan juga mempunyai banyak kebaikan lain seperti mencipta persaingan dalam pasaran, yang seterusnya mendorong peniaga-peniaga untuk memperbaiki kualiti dan harga produk dan servis mereka. Ia juga menggalakkan taraf hidup yang lebih baik. Pada aras individu, manfaatnya termasuk kebolehan untuk mengejar impian sendiri, membina keyakinan diri, memberi rasa kejayaan, pendapatan tinggi untuk waktu bekerja yang fleksibel, sentiasa mempelajari ilmu baharu setiap hari, dan banyak lagi!
Dalam era teknologi informasi, mahasiswa yang mampu sebenarnya tiada alasan untuk tidak menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan. Internet telah memudahkan sesiapa sahaja untuk memulakan perniagaan dengan modal yang minima. Ya, saya tahu yang ramai mungkin kurang bernasib baik dan tiada masa untuk fokus pada perniagaan- tetapi ramai juga yang bernasib baik. Mereka mempunyai banyak masa selain masa belajar. Masa ini boleh dijadikan untuk mereka bereksperimen dan menjinak-jinakkan diri dalam dunia perniagaan. Selain itu, antara objektif penting Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2020 (Pengajian Tinggi) adalah untuk melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan.
Jangan takut kalau gagal, kerana pada usia seorang mahasiswa kalau gagal dalam perniagaan tidak banyak risiko perlu ditanggung. Lainlah untuk mereka yang sudah beristeri dan mempunyai anak-anak- kalau bisnes gagal berat juga risiko yang perlu mereka tanggung. Ini bermakna sebagai pelajar, inilah masa terbaik untuk memperbaiki kemahiran keusahawanan kita supaya bila sudah mendapat ijazah, kalau tidak ada bisnes yang kekal pun, sekurang-kurangnya dapat masukkan dalam CV berbagai-bagai pengalaman dan kemahiran yang sudah dipelajari daripada membuat bisnes.
Tip memulakan bisnes sebagai mahasiswa
Sebagai seorang mahasiswa anda lebih berharga daripada hanya menjual makanan atau pakaian online. Fikir lah diri anda sebagai seorang intern. Cuba untuk menceburi bisnes yang berkait dengan kursus yang anda mengambil sekarang. Percayalah, marketnya sentiasa ada. Cuma kena cari sahaja. Contohnya saya sendiri, sebagai mahasiswa undang-undang, cuba untuk memulakan bisnes yang menyediakan servis reka website untuk firma undang-undang.
Saya hendak juga cuba menceburi bidang yang tinggi pulangannya. Oleh itu saya lebih cenderung melakukan bisnes B2B (business to business), iaitu bisnes yang menjual produk atau menyediakan servis kepada bisnes yang lain. Sama ada saya akan berjaya atau gagal, saya tak tahu. Rezeki itu diberi oleh Tuhan dan manusia hanya boleh ikhtiar untuk mencari rezeki-Nya. Tetapi jikalau saya gagal pun, seperti saya kata, saya akan belajar pelbagai kemahiran dalam industri.
oleh
Alif Mustaqim
Kolumnis Auctor
Comments