Panelis 1: Raja Ahmad Aminullah (Pak Engku)
Sebagai bekas aktivis mahasiswa, Pak Engku kaya dengan pengetahuan hasil dari pengalaman yang dikutip sewaktu di usia muda beliau. Sewaktu zaman mudanya (70’an), beliau menyatakan bahawa perkara yang menjadi tunjang perjuangan mahasiswa adalah penentangan terhadap kaum elitis dan sistem feudalisme. Beliau memperjuangkan agihan kekayaan yang adil dalam usaha untuk mengecilkan jurang kemiskinan. Penentangan terhadap kaum elitis ini sangat tebal dalam hati Pak Engku kerana perkara ini masih diperjuangkan oleh beliau sehingga kini. Selain itu, beliau turut berpendapat Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) telah memberi kesan yang negatif terhadap praktikaliti dan kebolehan mahasiswa itu sendiri apabila memasuki alam pekerjaan. Beliau juga menekankan tentang peri pentingnya anak melayu untuk memiliki mindset “Jiwa Merdeka”, tidak bersifat terlalu akomodatif dan harus mengkaji semula khazanah sastera negara. Contohnya, “Taj Us Salatin”. Beliau akhiri ucapannya dengan slogan “Experience + Knowledge + Kejernihan Hati + Usaha Maksimal = Meringankan Beban Rakyat”.
Panelis 2: Hazman Baharom
Saudara Hazman memulakan ucapannya dengan menceritakan tentang 1989 Tiananmen Square Massacre. Sebuah tragedi pembunuhan para protestor yang menuntut kebebasan bersuara yang mana sebahagian mangsa terdiri dari golongan mahasiswa. Beliau turut menyatakan mahasiswa kini perlu focus terhadap isu – isu penting dan tidak lagi hanya bermain dengan isu yang sudah lapuk dan tidak relevan. Beliau juga mendefinisikan “Autonomi” sebagai kuasa untuk melawan peraturan, tidak kira dari segi mental atau fizikal. Contoh kekangan atau peraturan yang mencengkam minda dari segi mental adalah mengelak dari membahas isu – isu penting dengan melabel perkara tersebut sebagai “Perkara Sensitif ”. Beliau berpendapat, sesetengah perkara akan kekal taboo sekiranya kekal tidak dibincangkan. Beliau juga menyatakan kuasa autonomi dapat dikembangkan melalui ilmu. Beliau selalu menekankan tentang perlunya membaca untuk meningkatkan ilmu pengetahuan agar tidak mudah terperangkap dalam naratif sejarah yang dibawa oleh pihak tertentu demi kepentingan pihak tertentu. Selain galakan untuk membaca, beliau juga menasihati agar mula menulis. Hal ini kerana, beliau berpendapat orang yang lebih banyak menulis akan menang dan bukan pihak yang menulis tentang kebenaran.
Panelis 3: Ainina Sofia
Ucapan saudari Ainina dimulakan dengan definisi autonomi, iaitu idea, keputusan dan perlaksanaan sesuatu perkara itu mestilah berpaksikan pada diri sendiri atau self-govern. Beliau juga kreatif mengaitkan konsep autonomi dengan isu – isu yang hangat dibincangkan di UIAM. Contohnya, isu autoriti “Student Union”, graduan yang ijazahnya ditahan dan penutupan sebahagian besar kafe di mahallah. Beliau juga lantang melaungkan bahawa inisiatif yang telah dilakukan selama ini dalam memperkasakan autonomi mahasiswa adalah tidak praktikal. Beliau juga berpendapat bahawa mahasiswa memainkan peranan penting dalam mengubah masa depan negara. Akhir sekali, beliau menasihati agar mahasiswa perlu menjalinkan hubungan dan memperbanyakkan sumbangan terhadap masyarakat luar dan tidak hanya tertumpu pada persekitaran yang berskala kecil sahaja.
Oleh : Iman Nurhakim
Komrad Sembang Kencang
Harmoni IIUM
Comments