“Maaf sebab aku bukan tulisan atau taipan yang boleh dipadam mudah”.
Terasa sakit sangat bila aku sorang saja yang ingat, dia boleh lupa. Dah lah bukan sekali dia sakitkan hati aku! Waktu dia nak berbaik dengan aku, aku bukan tak mahu. Tapi aku tak dapat nak lupakan apa yang telah dia lakukan pada aku walaupun aku telah memaafkannya. Memori itu akan kerap berulang tiap kali aku berhadapan dengan dirinya.
Aku tidak bangga kerana aku ingat salahnya. Malah aku nak sangat lupakan kesalahannya itu yang telah aku maafkan. Tapi aku memang tidak boleh. Kalau dia rasa hidup dia takkan tenang kalau aku tak lupakan salahnya, aku lagi lah! Aku perlukan masa dan ruang untuk membolehkan aku melupakan memori itu. Aku perlu!
Setiap makhluk di dunia ini mempunyai memori masing-masing dan dengan memori itu mereka boleh merekod maklumat dan menjadi saksi atas setiap perbuatan dan tindakan antara satu sama lain.
Anggota badan kita sendiri juga ada memori tersendiri yang membolehkan mereka menjadi saksi ke atas diri kita di Hari Perhitungan kelak, seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
“Pada hari ini, Kami menutup mulut mereka rapat-rapat, sehingga mereka menjadi bisu tidak berbicara untuk mengingkari kekufuran dan kemaksiatan yang mereka kerjakan di dunia, dan Kami menjadikan tangan mereka berbicara menyampaikan apa yang dilakukannya di dunia, lalu kaki mereka memberikan kesaksian atas apa yang mereka lakukan berupa kemaksiatan dan ia berjalan kepadanya.”
(Yasin : 65)
Jangan alpa, memori tindak tanduk kita juga sentiasa dicatat oleh dua malaikat yang telah ditugaskan, Rakib dan Atid.
"Tidaklah seseorang mengucapkan suatu perkataan, melainkan di sisinya terdapat malaikat Raqib dan Atid." (Qaf : 18)
Hal yang paling besar ialah memori Allah itu tiada had dan batasan untuk Dia mengetahui dan ingat setiap perilaku kita, walau yang tersirat di dalam hati.
“Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” (Qaf : 16).
Setelah sedar akan hal ini, mungkin sedikit lega bagi mereka yang banyak kebaikan dilakukannya dan sangat merisaukan bagi mereka yang sebaliknya. Sekejap. Patut ke kita merasakan demikian? Lega? Risau? Masih terlalu awal untuk kita merasa lega dan masih belum terlambat untuk kita berusaha memperbaiki diri. Beberapa langkah yang boleh diambil untuk perbaiki rekod memori buruk yang telah dicatatkan supaya diri kita sebagai manusia diampunkan oleh Allah dan seluruh penduduk langit dan bumi, dengan memperhatikan:-
Hubungan kita sesama dengan manusia
Elak perkara yang mengundang permusuhan
Memaafkan kesalahan
Meredai perkara yang telah berlalu
Hubungan kita dengan Allah
Berlumba-lumba dan hadirkan ikhlas dalam beramal
Sentiasa mohon ampun padaNya
Hubungan kita dengan flora dan fauna
Memelihara dan memulihara mereka
Tidak menzalimi atau menyakiti
Manfaatkan haiwan atau tumbuhan dengan penuh belas
Hubungan kita dengan diri sendiri
Beri peluang pada diri untuk terima dan laksanakan kebaikan
Penuhi tuntutan hidup (rohani, jasmani, intelek, emosi)
Memaafkan diri sendiri
Maka sebelum berakhir, sentiasalah beramal soleh dan berhati-hati dalam setiap tindakan yang kita ambil. Banyakkanlah memohon ampun dan taubat kepada Allah serta bermaafan dan saling memaafkan sesama manusia. Memaafkan silap orang lain tidak akan membuatkan kita rugi, kerana hal ini Insyaallah akan lebih memudahkan urusan perhitungan kita di akhirat. Marilah berusaha melakar memori indah kepada makhluk-makhluk lain di sekeliling kita dan juga kepada Allah. Kita mohon segalanya pada Dia. Wallahualam..
-Siti Salwa, KOE
Comments