top of page
Kolumnis Jemputan

Membeli Syurga Dengan Satu Dirham - Nuha Farid

“Pada zaman di mana banyak ‘amal besar dikecilkan oleh niat yang tak menyurga; betapa penting bagi kita mentarbiyah niat dalam ‘amal-‘amal kecil yang luput dilirik manusia, tapi berpeluang menjadi tinggi nilai bersebab niatnya.”

(Petikan daripada Buku Sunnah Sedirham Surga- Salim A. Fillah)


Dikisahkan dahulu Al-Imam Abu Dawud hafizahullah, penyusun Kitab Sunan Abu Dawud (sebuah kitab yang berisi kumpulan hadis-hadis Nabi SAW, suatu hari menaiki perahu. Lalu, beliau mendengar seseorang yang bersin di tepi pantai. Seketika orang yang bersin ini mengucapkan: Alhamdulillah (ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ رَبِّ ٱلْعَالَمِينَ). Maka, Imam Abu Dawud mengupah pengemudi perahu dengan satu dirham untuk membawa perahu mereka ketepian dan turun dari perahu itu hingga beliau mendatangi orang yang bersin tadi, lalu berkata: Yarhamukallah (يَرْحَمُكَ اَللَّه) ertinya semoga Allah merahmatimu.


Kemudian, beliau kembali menaiki perahu. Hal ini membuat kawan-kawannya tertanya-tanya mengenai alasan yang dilakukan beliau. Imam Abu Dawud menjawab: "Barangkali orang yang bersin tadi adalah orang yang makbul doanya."

Ketika para penumpang perahu terlelap dalam tidurnya, mereka mendengar suara yang menyeru: "Wahai para penumpang perahu! Sungguh Abu Dawud telah membeli surga dari Allah dengan wang satu Dirham."


Kisah ini diriwayatkan oleh Ibnu 'Abdil Barr dengan sanad jayyid, sebagaimana dikatakan oleh Al-Hafidz Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam Kitab Fathul Bari syarh Shahih Bukhari.

_________________________


Mendewasa pada masa di mana amal baik seringkali dianggap besar dan berat menyebabkan kita susah untuk memulakan dan lebih teruk meninggalkan kerja baik itu sekaligus. Misalnya, apabila kita terbaca perkataan ‘dakwah’, barangkali kita terbayang keluar dijalan dan buat ‘street dakwah’, berdebat dengan mereka yang non-muslim tentang ‘Siapakah Tuhan’, perbezaan agama dan lain-lain yang kita tahu dan sedar kadang-kala kita masih belum bersedia untuk berdepan dengan mereka. “Apabila kita terdengar mengenai sunnah Nabi SAW, akan singgah di fikiran kita bahawa kita harus, menghafal dan memahami maksud 1000 hadith Nabi SAW dan mendapat gred A untuk subjek Ulum al-Hadith dan subjek shariah lain.”.


Pemikiran ini tidak salah, namun jika majoriti daripada kita meletakkan mentaliti ini terhadap dakwah dan sunnah barangkali hanya sedikit yang akan mengerjakan dakwah dan mengamalkan sunnah Nabi SAW.


Mengibrah daripada kisah Imam Abu Dawud sebelumnya, beliau hafizahullah salah seorang ulama perawi hadis, yang mengumpulkan sekitar 50,000 hadis dan menuliskan 4,800 di antaranya dalam Kitab Sunan Abu Dawud sanggup membayar satu dirham hanya semata-mata untuk memberhentikan perahunya dan mendoakan seseorang yang bersin. Beliau amat peka untuk beramal dengan sunnah kekasih yang dicintainya, meski terlihat remeh pada pandangan manusia lain.


Belajarlah dari kisah ini bahawa untuk beramal baik tidak sukar.


Justeru, Islam sangat memudahkan penganutnya untuk beramal. Bukankah dengan niat untuk beramal baik sahaja Allah kira pahalanya? Tidak perlu berdebat perihal Tuhan dengan non-Muslim pun tidak mengapa, berkelakuan baik dan berakhlak dengan akhlak Islamik juga merupakan salah-satu dakwah yang paling berkesan untuk memenangi hati non-Muslim. Jika tidak dapat A dalam subjek Ulum al-Hadith pun okay sahaja, yang penting apabila kita belajar kita rasa lebih dekat dengan Rasulullah kita 😊 dan cuba untuk beramal dengan sunnah-sunnahnya seperti minum duduk, minum dengan tangan kanan, mendoakan orang yang bersin dan banyak lagi sunnah yang boleh kita aplikasikan sebagai manifestasi cinta kita kepada sang kekasih SAW.


Konklusinya, ada keberkatan pada amalan baik yang kecil. Jangan pernah meremehkan kebaikan, meski kelihatan kecil, namun di sisi Allah sangat mulia. Banyak amalan yang dianggap remeh oleh manusia, padahal perbuatan itu boleh mendatangkan ridha Allah hingga menjadi asbab seseorang masuk ke syurgaNya.


Semoga selepas ini, kita lebih memandang sekecil-kecil amal itu besar pada pandangan Allah. Kerana segala kebaikan orang mu’min itu bernilai di sisi Allah.


Jujurnya, kisah ini tidak pernah saya ketahui atau dengar daripada mana-mana ceramah agama sehinggalah saya membaca buku Salim A. Fillah berjudul, ‘Sunnah Sedirham Surga’. Sememangnya saya merupakan peminat karya-karya daripada negara seberang terutama sekali, hasil penulisan Akh Salim A. Fillah ini. Seperti yang saya jangka, hasil karya beliau yang selalu ada pemaduan antara dalil dengan kisah-kisah anbiya’, para sahabat, ulama’ dan zuama’, saya kira beliau telah berjaya menaikkan pembacanya satu tangga lebih dekat dengan Sunnah Nabi SAW dan uswah para ulama’ terdahulu.



oleh

Nuha Farid

Kolumnis Jemputan

111 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page