top of page

Hujan Yang Meninggalkan Dingin - Umi Khairunnisa

Secawan susu panas yang baru dibancuhnya, dibawa ke ruang tamu. Biskut Chips More Double Choc bersaiz kecil dijadikan pelengkap sarapan pagi itu. Buku catatan tidak bergarisnya yang berbaki beberapa halaman kosong sahaja lagi, dibuka. Kebiasaan seorang Murni pada awal pagi sebelum menjengah ke dunia maya, melihat mesej-mesej yang masuk ke ruang media sosialnya, akan dia pilih untuk melihat alam terlebih dahulu. Memberi waktu untuk dirinya sendiri merenung alam dan mencatat pelajaran dari renungan itu ke dalam buku catatannya.


‘’Murni, mengapa engkau suka menulis?’’ Terimbau soalan daripada seorang teman. Teman yang hampir sama perwatakan dengannya, pendiam dan pencinta buku.


‘’Qiha, mengapa engkau tidak bertanya kepada dirimu? Bukankah engkau juga suka menulis? Aku yakin, akan ada juga sebab yang sama mendorong kita menulis.’’ Balas Murni usai kelas yang terakhir pada waktu petang, seminggu yang lalu.


Perbualan itu berlaku di ruang “WhatsApp”, setelah Faqiha menghantar emoji tangan yang digenggam sebagai ‘’reaction’’ kepada penulisannya di “WhatsApp Status.”


‘’Hujan,

Meski ia sudah berhenti dari membasahi alam,

Tetapi dinginnya masih terasa.’’


‘’Kerana aku belajar dari hujan, Qiha.’’ Sebaris jawapan diberikan, kemudian perbualan berubah panjang.

‘’Duhai, engkau mahu aku cuba hasilkan kesimpulan kah, dari hujan itu?’’ Balas Faqiha dari balik skrin telefon pintar.


‘’Tidak salah engkau mencuba. Aku mahu dapatkan pelajaran lain juga dari hujan, meski aku sudah ada jawapannya.’’


‘’Engkau memang, Murni. Alam sentiasa menjadi sumber ilham. Berikan aku masa mengarang, tentang hujanmu.’’ Balas Faqiha semula.


‘’Akan aku tunggu, Qiha.’’ Balas Murni lagi bersama emoji payung ditimpa hujan.



Telefon pintar dimasukkan semula ke poket sisi beg sandangnya. Dia berjalan melintasi perkarangan masjid kampus untuk pulang ke asrama. Lenggang sungguh waktu itu, sekadar kelihatan beberapa orang pelajar sedang sibuk dengan urusan masing-masing.


‘’Ting tong.’’ Bunyi notifikasi mesej baharu diterima, kedengaran.


Murni senyum. Mesej dari Faqiha, tetapi tidak pula dia segera mencapai telefon pintarnya untuk membaca mesej baharu itu. Sebelah malam nanti, barulah dia ingin meneruskan perbualan bersama Faqiha. Waktu petang begitu, dia mahu rehat-rehat sahaja.


‘’Hujan,

Sebanyak apapun titisan-titisannya gugur ke bumi hari ini,

Ia tetap perlu gugur lagi nanti,

Kerana bumi akan mati jika hujan menahan diri dari gugur kemudian hari.

Seperti itu juga kita, Murni,

Sejuta tidak terkira pun kebaikan yang kita tebarkan ke bumi,

Kita tetap perlu menebarkannya lagi,

Kerana bumi akan sentiasa memerlukan kebaikan-kebaikan kita,

Untuk melindunginya dari mati,

Dan menulis, ialah satu bentuk penyebaran kebaikan.’’


‘’Ini hanya kesimpulan sederhanaku dari hujanmu itu, Murni. Sekaligus aku titipkan juga pesanan buatmu dan buatku agar kita terus menulis.’’

‘’Sepertimana bumi sentiasa memerlukan hujan bagi kekal hidup, begitulah juga aku percaya bahawa manusia di sekeliling kita ini turut memerlukan penulisan-penulisan kita untuk membantu mereka bertumbuh, menjadi lebih baik. Kita tidak mahu mereka mati, mati hati. Dan aku tidak mahu juga bakat kita mati. Mati kerana tidak diasah. Mati kerana kita menahannya dari mendapatkan sumber-sumber untuk terus hidup. Menulis, itu cara untuk kita menghidupkan diri kita dan menghidupkan mereka.’’

‘’Penulisan-penulisan kita itu ialah titisan-titisan hujan Murni.’’


Mesej balas dari Faqiha petang tadi dibaca Murni usai Isya’. Sungguh indah temannya itu menyampaikan makna melalui penulisannya.


‘’Indah, Qiha.’’ Balas Murni segera. Matanya mula mengumpul air-air jernih yang menanti masa untuk tumpah.

‘’Tidak seindah penulisanmu, Murni. Jadi apa pelajaranmu dari hujan pula? Aku mahu tahu juga.’’

‘’Hujan, masih aku ingat, Qiha, sewaktu hari raya Aidilfitri yang keempat, dua tahun yang lalu. Satu catatan dari temanku. Catatan yang aku baca di ruang media sosialnya;”

‘’Kita sudah tidak melihat lagi guguran hujan,

Kerana hujan itu gugur berdasarkan tempoh yang ditetapkan Tuhan,

Tetapi kesan gugurnya hujan masih terasa,

Pada sekeliling yang berubah dingin.

Justeru, berbuat baiklah,

Supaya kesannya kekal ada,

Walaupun kita sudah tiada,

Kerana kehadiran kita di dunia ini juga bertempoh,

Menurut ketetapan-Nya.’’


“Masih aku simpan catatannya itu, Qiha, dalam galeri telefonku. Memang kebiasaannya aku simpan segala catatannya, hingga ada aku sediakan satu fail istimewa untuk mengumpul catatan-catatannya di ruang telefonku, Qiha. Semuanya berharga bagiku. Aku percaya setiap penulisan akan ada sentuhannya yang tersendiri kepada orang yang membacanya.”



‘’Menulis juga antara cara untuk kita memberi nasihat, Qiha. Aku tahu engkau tahu ini. Apabila ada orang yang membaca penulisan kita, kemudian dia mempraktiskan apa yang kita mahu sampaikan, maka pahalanya akan sampai juga kepada kita. Moga dengan banyaknya pahala itu, satu istana buat kita terbina di syurga nanti. Jika tidak dapat sebuah istana, cukuplah kita mendapat tempat di syurga, kerana syurga itu sendiri sudah indah. Kita semua menginginkan syurga, Qiha, sebab itu kita perlu cari dan buat pekerjaan yang kita mahu ia menjadi sebab Allah menyediakan tempat buat kita di syurga.’’

Itulah sebab mengapa Murni suka menulis.

‘’Menulis ialah pekerjaan hati, Qiha. Setiap penulisan perlu ditulis dari hati supaya ia sampai pula ke hati kita tentunya, dan hati orang lain.’’

‘’Dan apabila ia ialah pekerjaan hati, maka menulis akan sentiasa menuntut kita membersihkan hati, memeliharanya dari kehendak-kehendak dunia yang memang akan singgah dan pergi di hati kita. Sebab itu jugalah aku mahu terus menulis, supaya aku dapat terus berusaha memelihara dan membersihkan hatiku.’’


Faqiha tidak membalas kecuali setelah 10 minit berlalu. Seakan jawapan-jawapan Murni menolaknya untuk berfikir dan merenung diri.

‘’Suka sekali aku mendengarnya. Terima kasih, Murni. Aku mengutip mutiara darimu untuk terus menulis.’’


‘’Dan aku juga mengutip mutiara darimu, Qiha, untuk teguh di jalan penulisan ini. Kita berbagi-bagi mutiara.’’ Ujar Murni kembali.

“Benar, menulis bukan satu-satunya cara untuk kita berbakti,

Untuk kita terus hidup meski sesudah mati,

Tetapi jika ia benar-benar satu pekerjaan yang kita nikmati,

Mengapa memilih untuk berhenti? Mengapa ragu-ragu masih dibiar menjalari diri?

Teruskan, kerana penulisan ialah titisan-titisan hujan yang mampu menghidupkan walau satu ruang kecil sekeping hati,

Dan, ada hati yang menanti titisan-titisan hujan itu gugur lagi.”


oleh

Umi Khairunnisa Mohd Ali

Kolumnis Auctor


150 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page