top of page
Writer's pictureKolumnis Auctor

Budiman Yang Dikenang - Umi Khairunnisa

Sebuah tanah air di tengah kehalusan musuh,

Bukan merampas kuasa, tetapi nyawa,

Ketakutan menimpa beribu mangsa,

Menimbulkan gelisah pada warga,

Sehingga kematian seakan dijangka,

Khabar duka, menghiris luka,

Kehalusan musuh mengubah segalanya,


Sebuah tanah air di tengah kehalusan musuh,

Menyingkap kewujudan para budiman,

Begitu tampak dalam kesukaran,

Bukti tanah air belum kontang perikemanusiaan,

Disangka tenggelam dalam lautan kemajuan,

Sebuah tanah air di tengah kehalusan musuh,

Ketika di kirinya adalah daerah kemiskinan,

Ketika di kanannya adalah tapak kemelaratan,

Para budiman yang dikenang, meski tidak semuanya didendang,

Turun menyantuni, berkongsi makanan,

Begitu memahami nilai terpendam,

Pada pepatah Melayu “Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul,”


Sebuah tanah air di tengah kehalusan musuh,

Para budiman tanpa mengenal pangkat,

Dari penunggang motosikal biasa,

Berpanasan mencari rezeki buat keluarga,

Hingga lencun baju yang disarung,

Kaya jiwa lebih dari harta,

Menghulur makanan pada warga derita,

Terketar-ketar kelaparan di daerah kemiskinan,

Melarat meneruskan kehidupan,

Berselindung di balik menara kota,

Lambang kemasyhuran,


Sebuah tanah air di tengah kehalusan musuh,

Ketika ibu-ibu tunggal hilang punca pendapatan,

Gundah apabila susu anak berbaki di dasar,

Tabung yang sudah berkecai pula,

Hanya mengandungi syiling-syiling bulat, sedikit,

Namun, para budiman tidak hilang,

Menghulurkan bantuan, meringankan beban,

Pada ibu-ibu tunggal yang sepi,

Mungkin tidak memberi makanan mewah,

Cukuplah mampu merasa makanan asas,

Adakah ada yang lebih bahagia?

Sebuah tanah air di tengah kehalusan musuh,

Ketika mahasiswa harus bersendirian di kampus,

Jauh dari keluarga,

Bukan sementara, tetapi sebulan lamanya,

Mengalami kesukaran yang sama,

Terhad makanan dan minuman mereka,

Ya, masih ada para budiman,

Mencari dana, menyusun bungkusan, mengagihkan keperluan,

Bayu keprihatinan menyapa,

Seakan berbisik, “Tanah air masih hidup dengan warga berhati mulia,”

Sebuah tanah air di tengah kehalusan musuh,

Ketika para nelayan merenung kosong lautan biru,

Zahirnya,

Sedang kepala begitu berselirat,

Memikirkan mulut-mulut yang harus disuap,

Walhal wang tidaklah banyak,

Bertahan dua hari untuk anak-anak,

Tetapi para budiman masih ada,

Bahkan sentiasa ada,

Memikul sekampit beras, menjinjing sebungkus plastik,

Tanaklah nasi, meski lauk yang paling mewah hanya telur kicap,

Bersama kuah ikan singgang,

Kesyukuran dipanjatkan,


Sebuah tanah air di tengah kehalusan musuh,

Itu cerita warga desa dan kota,

Yang disantuni budiman tanah air kita,

Sesuai tanggungjawab atau kerana rasa bertanggungjawab,

Tetapi ada para budiman, yang tidak pernah lupa memberi bantuan,

Berjam-jam, hingga pada hujung hari,

Mereka akan rebah, begitu penat menabur bakti,

Anak-anak dan keluarga tidak merungut,

Fahamlah betapa mulianya ibu dan ayah mereka,

Melindungi tanah air dari rancaknya kehalusan musuh,

Menyerang, meragut nyawa warga,

Juga yang berlama-lama berdiri di jalan raya,

Mengawal pergerakan warga kota dan desa,

Menegur yang agak keras kepala,

Meski ribut, hujan, panas atau redup,

Mereka masih bekerja,

Ketika yang lain berlindung di bawah atap berhawa dingin,

Para budiman,

Cinta mereka mulus bak haruman kasturi,

Hati mereka halus mengakar mulia,

Tangan mereka ringan mententeramkan jiwa,

Jasa mereka tulus tidak meminta dipuja,

Terlalu berharga para budiman,

Tidak ternilai untuk digantikan,

Dengan dunia dan mahkotanya,

Kerana mereka sendiri sedang membina dunia,

Bahkan memulihnya,

Untuk warga tanah air yang dicinta,


Tiada yang meminta,

Apatah lagi memaksa,

Tetapi kerana kasihnya mereka pada warga,

Menggerakkan segalanya,

Kata-kata nenek moyang, begitu mengajar seni kehidupan,

“Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa,”

Pokok dihargai kerana buahnya, manusia dihargai kerana jasanya,

Itulah para budiman yang dikenang,

Bukan kerana pangkat, darjat, nama, harta, rupa,

Tetapi jasa.


100 views0 comments

Recent Posts

See All

Commentaires


bottom of page