Artikel ini ditulis bukan bertujuan untuk mengajar jauh lagi untuk memperbetulkan tetapi sekadar untuk mengingatkan dan mengajak. Seperti mana yang Allah firmankan di dalam surah Ad-dhariyat ayat 55, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman. Dengan izin Allah, Ramadan datang lagi menjadi tetamu kita. Maka wajarlah kita bersedia dan bersungguh-sungguh untuk meraikan dan menyambut kehadiran tetamu Allah yang mulia ini.
Setiap kali datangnya Ramadhan, pastinya kita terimbau kenangan lampau sewaktu kita kecil-kecil dahulu. Mungkin ramai daripada kita berkongsi pengalaman yang sama. Sewaktu kita kecil-kecil dahulu setiap kali hadirnya Ramdhan pasti ibu atau ayah kita akan menawarkan kepada kita sesuatu ganjaran yang sukar bagi kita untuk menolaknya.
“Setiap hari yang adik puasa penuh ayah akan bagi RM10.” Kata ayah sambil tersenyum manis.
“Betul ke? Tak sabarnya nak berpuasa.” Jawab adik sambil melompat-lompat kegembiraan dengan senyuman lebar terkoyak luas menghiasi raut wajah. Manis.
Makanya, bila tiba bulan Ramadhan, kita akan bersedia bersungguh-sungguh. Sanggup kita bangun seawal jam empat pagi untuk bersahur. Semuanya untuk memastikan kita mampu bertahan sepanjang hari. Demi RM10.
Kita pun melalui hari-hari dalam bulan Ramadhan dengan penuh mujahadah. Berhadapan dengan kawan-kawan sebaya yang belum mula berpuasa. Pelbagai makanan yang mereka bawa. Air pelbagai perisa mereka tawarkan kepada kita taktala matahari terik memancar. Berat rasa hati untuk tidak menerima, tetapi demi RM10 kita tolak. Tiba waktu petang, kita mula tidak larat. Sepanjang petang kita habiskan dengan berbaring di atas katil sambil ditiup angin sejuk daripada penghawa dingin. Tidak larat untuk bangun. Tidak larat untuk bersenam. Tidak larat untuk membuat kerja. Semuanya tidak larat. Tepat jarum jam menunjukkan pukul 7.00 malam, tiba-tiba kita segar. Kepenatan dan keletihan sepanjang hari tiba-tiba hilang. Terus kita melompat daripada katil dan berlari laju ke dapur, duduk di hadapan meja makan sambil menunggu azan. Terdengar sahaja suara muazzin melaungkan azan, tanpa segan silu laju sahaja tangan kanan kita menyambar buah kurma yang sedia menanti sejak dari petang. Habis ditelan buah kurma, diambil pula air bandung soda ditambah dengan laici, dihirup laju. Perlahan-lahan air yang berwarna merah jambu itu melalui tekak kita yang kering. Lega. Perasaan sewaktu air bandung itu membasahi tekak kita hanya tuhan yang tahu. Maka berakhirlah hari pertama kita berpuasa. Gembira bukan kepalang kerana RM10 pertama sudah berada di dalam genggaman.
Semakin kita meningkat dewasa, puasa semakin menjadi lebih mudah. Jikalau ditawarkan RM10 untuk setiap hari kita berpuasa penuh pada usia ini, pasti dengan mudah sahaja kita menolak. Semakin meningkat umur kita, puasa Ramadhan seolah-olah menjadi aktiviti dan rutin tahunan. Bulan Ramadhan terpaksalah puasa. Semangat kita sewaktu kecil dahulu semakin lama semakin pudar. Sudah tidak gembira dengan kehadiran Ramadhan. Puasa hanya seolah-olah menjadi rutin tahunan. Tarawih hanya kerana ada teman ajak bersama. Iktikaf kerana keluarga memaksa.
“Kenapa kita sudah tidak bersemangat seperti kita kecil-kecil dahulu?”
Para pembaca yang saya kasihi, ketahuilah tawaran yang Allah berikan kepada kita sepanjang bulan Ramadhan adalah berjuta kali ganda besar nilainya berbanding nilai duit RM10 yang ayah kita pernah berikan. Di sana terlalu banyak hadis dan ayat al-quran yang menyebut tentang ganjaran-ganjaran yang Allah berikan kepada kita. Jika mahu disebut semuanya disini, pastinya artikel ini akan bertukar menjadi buku. Tetapi persoalannya, adakah kita tidak terliur dengan ganjaran yang maha hebat seperti itu. Adakah kita lebih tertarik dengan nilai RM10 berbanding ganjaran beribadah seribu tahun. Sudah tentu sebagai seorang muslim yang rasional, dengan tawaran sebegitu hebat mana mungkin untuk kita mampu menolaknya sebagaimana tawaran RM10 yang ayah kita pernah tawarkan sewaktu kita kecil-kecil dahulu.
Ramadhan bukanlah aktiviti tahunan dalam kalendar Islam. Malang sekali kalau kita menganggapnya sebagai rutin. Ramadhan adalah bulan yang Allah sediakan khusus bagi melatih kita menjadi orang yang bertakwa. Sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183;
“Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.”
Jelas daripada ayat di atas, puasa khususnya dalam bulan Ramadhan matlamatnya adalah supaya kita menjadi orang yang bertakwa. Ayat di atas seolah-olah memberi gambaran, kalau kita tidak menjadi yang bertakwa, tidak tercapailah matlamat puasa kita. Tetapi apakah itu takwa?
Pada suatu hari, Umar Al-Khattab pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab tentang apa itu takwa. Lalu Ubai membalas pertanyaan Umar dengan sebuah pertanyaan. Pernahkah kamu melalui jalan yang berduri? Lalu Umar menjawab pernah. Ubai bertanya lagi, bagaimana kamu melalui jalan itu? Umar membalas, dengan penuh berhati-hati. Itulah takwa, kata Ubai bin Kaab. Suatu contoh yang amat mendalam yang diberikan oleh Ubai bin Kaab. Takwa itu adalah seperti kita berjalan diatas jalan yang berduri. Pastinya kita akan lebih berhati-hati agar tidak terpijak duri tersebut. Begitulah taqwa menjadikan kita lebih berhati-hati dalam setiap perbuatan yang kita lakukan agar ianya tidak melangkau apa yang Allah tetapkan. Ketika berpuasa banyak perkara yang halal yang kita tidak lakukan. Contoh yang mudah, makan dan minum di siang hari bulan Ramadhan. Adakah kita tidak mampu untuk makan dan minum? Pasti sahaja kita mampu. Kalau mampu, kenapa kita tidak buat? Kerana kita tahu kalau kita makan dan minum dengan sengaja pada waktu pagi bulan Ramadhan pastinya puasa akan terbatal. Ianya pasti mengundang kemurkaan Allah. Maka oleh sebab itu, kita usahakan juga itu tidak melakukannya walaupun kita terlalu inginkannya. Siapa yang tidak mahu minum air tembikai susu di kala matahari terik membakar tubuh. Kalaulah Allah bagi minum, pastinya habis satu telaga air tembikai kita teguk. Nah, kalau kita mampu untuk menghalang diri kita daripada melakukan benda-benda halal sewaktu bulan Ramadhan selama 30 hari, masakkan kita tidak mampu untuk menghalang diri kita daripada melakukan benda haram sepanjang 11 bulan lainnya. Ianya bukan soal kita mampu atau tidak mampu, tetapi ianya soal sejauh mana kita merasai dan memaknai bahawa bulan Ramadhan sebagai bulan pelatihan takwa kita dan bukan sebagai rutin tahunan yang terpaksa kita lalui. Kita yakin dan pasti, jika pelatihan itu disediakan oleh Allah Tuhan pemilik manusia, pastinya ia berkesan kerana Dia adalah Tuhan. Makanya disini soalan besar yang perlu kita tanya diri kita bersama-sama adalah, adakah kita merasai bulan Ramadhan ini sebagai bulan pelatihan dan sekolah untuk mendidik jiwa kita supaya menjadi hambanya yang lebih bertaqwa. Jika ya, pastinya kita tidak sabar lagi untuk memenuhi Ramadhan kita dengan segala jenis amal ibadah dengan harapan agar amal ibadah tersebut mampu membentuk takwa kita. Tetapi jika belum, jangan risau, masih awal lagi untuk berputus asa. Teruskan bersemangat.
Ayuh sama-sama kita muhasabah dan mengoreksi diri. Untuk mendapatkan takwa ianya bukan soal yang mudah. Kerana itu, dalam kebanyakan tafsir, ayat 183 surah Al-Baqarah diterjemahkan sebagai, “mudah-mudahan kamu bertakwa.” Perkataan “mudah-mudahan” menunjukkan ianya bukan proses yang mudah dan bukan semua orang mampu mengapainya. Tetapi apa yang lebih penting, sejauh mana kita berusaha menggapai taqwa daripada puasa kita. Janganlah jadikan ibadah dalam bulan Ramadhan sebagai tradisi. Kerana orang lain buat kita buat tanpa memaknai-nya. Tetapi beribadalah dalam bulan Ramadhan dengan penuh perasaan ubudiyyah dan kehambaan kepada Tuhan pemilik Ramadhan. Bersungguh-sungguhlah beribadah dalam bulan Ramadhan bukan kerana bulan Ramadhan, tetapi kerana kita hamba kepada Tuhan pemilik Ramadhan kerana akhirnya, Ramadhan bukan tuhan.
oleh
Merpati Putih
Kolumnis Jemputan
Comments