top of page
Writer's pictureKolumnis Auctor

Mahasiswa dan Penulisan- Kamilea Syasya

Updated: Mar 1, 2020


Apakah nilai signifikan sebuah penulisan pada pembentukan peribadi mahasiswa?

Jawapannya ada pada kata hikmah ini, setitik dakwat mampu membuat sejuta manusia

berfikir. Penulisan itu lebih daripada jari dan pena sahaja. Penulisan itu bisa mencari semula

yang lenyap dari jiwa. Penulisan itu pada hakikatnya banyak sekali membantu kita

mengenali hati sendiri. Kerana, apa yang ditulis itulah menggambarkan apa yang ada di jiwa.


Penulisan sentiasa membuka inspirasi. Namun hanya dengan penulisan juga akan membuat

inspirasi terhenti. Memperjuangkan sesuatu penulisan hanya bisa pada kata-kata. Kata-kata

tidak semestinya harus menjadi hebat. Sebagai mahasiswa yang mahu membuat perubahan

dalam hidup, kita perlu memulakan perubahan tersebut dengan membuat sesuatu yang

baharu. Perkara baharu tidak semestinya sesuatu yang drastik dan memerlukan

pengorbanan yang besar. Pilih sahaja sesuatu yang mudah yang tidak pernah atau terlalu

jarang dilakukan selama ini. Antara perkara atau aktiviti mudah yang setiap daripada

mahasiswa mampu lakukan sekarang adalah dengan menulis. Belajar mengamalkan ilmu

menulis yang telah lama ada pada kita.


Menulis sememangnya hal yang mudah akan tetapi sulit untuk dilakukan. Sekali menulis

belum tentu hasilnya seperti yang diharapkan. Namun, itu bukanlah penghalang pada

mahasiswa untuk terus menulis. Jika gagal, cubalah lagi. Bagi menghasilkan tulisan yang baik

dan bermanfaat, prosesnya memang tidak sekali jadi. Generasi dengan bakat menulis yang

cemerlang, sudah jarang ditemukan. Jadi sebagai mahasiswa yang inginkan perubahan,

gerakkan jari dan pena anda untuk menghasilkan sebuah tulisan yang memberikan inspirasi

kepada yang lain. Bukan sekadar menjadi mahasiswa yang hanya banyak menghabiskan

waktu dengan duduk di hadapan komputer atau handphone tanpa berbuat apa-apa

perubahan. Generasi kini lebih memilih bercanda, ketawa sesama sendiri dan memilih untuk

bermain handphone dengan mengakses media sosial. Sehingga mereka hanya meluangkan

waktu dengan berbual kosong dan menyibukkan diri masing-masing dengan perkara tidak

berfaedah tanpa meluahkan tinta pada kertas kosong. Padahal menulis itu dapat

mempengaruhi kecerdasan otak manusia. Menurut Aleysius H. Gondosari, aktiviti-aktiviti

kreatif seperti menulis dapat meningkatkan fungsi otak. Sebaliknya aktiviti yang tidak

kreatif, dapat mengurangkan fungsi otak. Menulis sebuah tulisan pendek dapat meningkatkan fungsi otak sebanyak 5%. Dengan menulis sebuah buku, fungsi otak akan

meningkat sebanyak 10% hingga 20%. Menulis buku setebal “Laskar Pelangi” atau buku

setebal “Harry Potter” dapat meningkatkan fungsi otak sebanyak 20%.


Dalam Al-Quran sudah dijelaskan dalam surah Al-Alaq pada ayat 4 yang bermaksud : Yang

mengajar manusia dengan pena dan tulisan. Pada tafsir ayat tersebut juga dijelaskan

bahawasanya (Yang mengajar) manusia menulis dengan pena iaitu orang pertama yang

menulis dengan menggunakan kalam atau pena ialah Nabi Idris A.S. Sudah jelas orang-orang

sebelum kita sudah menulis pada zaman dahulu. Dari huraian kandungan surah Al-Alaq di

atas memberikan penjelasan kepada kita sebagai mahasiswa supaya menjadi seorang yang

rajin membaca atau menulis. Kita sedia maklum bahawa membaca dan menulis adalah pintu

pertama yang dilalui oleh ilmu untuk masuk ke dalam fikiran dan hati manusia. Ayat di atas

juga mengisyaratkan kepada manusia terutama umat Muhammad SAW agar ketika kita

telah memperoleh ilmu pengetahuan, maka sebaiknya harus disampaikan semula kepada

manusia lain dengan melalui penulisan. Allah-lah yang menjadikan manusia berkemampuan

untuk membaca dan menulis dalam memberikan ilmu yang manusia tidak pernah

mengetahui apa-pun sebelumnya. Hal ini juga memberikan maklumat kepada masyarakat

lain tentang sumber ilmu pengetahuan iaitu datangnya daripada Allah SWT.


Menulis adalah memberikan goresan tinta pada selembar kertas, yang merupakan

implementasi peristiwa yang kita alami. Ketika kita cuba untuk menulis, menulis-lah terus

mengikuti gerakan tangan, konsentrasi fikiran, dan melayang-lah ke angan masa kecil yang

indah. Kebanyakan mahasiswa mengatakan bahawa menulis itu sulit, maka mereka tidak

suka menulis tetapi sebenarnya setiap orang adalah penulis. Kerana aktiviti menulis

sebenarnya sudah dilakukan setiap hari misalnya menulis surat, memo, membuat tugasan

kuliah, serta membuat laporan kelab persatuan.


Suka untuk saya nyatakan petikan daripada sebuah buku bertajuk Curahkan Gairah Menulis,

“Menulis adalah cara kita berfikir, kalau anda tidak tahu, anda tidak tahu menulis. Belajar

menulis bererti anda sedang belajar berfikir” Justeru itu dengan menulis mahasiswa dapat

meningkatkan kecerdasan intelektual dan linguistik. Belajar menulis juga menjadikan

mahasiswa belajar membudayakan budaya membaca. Ketika mahasiswa inginkan

menghasilkan sebuah penulisan hebat, mahasiswa itu sendiri perlu memperbanyakkan

bacaan kerana membaca dapat meningkatkan pengetahuan seseorang. Tidak hanya

membaca, memahami yang dibaca juga sangat penting. Dengan memahami bahan bacaan,

mahasiswa dapat menghasilkan penulisan yang lebih hidup dan hebat. Analoginya,

menghasilkan sebuah penulisan tanpa membaca bagaikan memiliki tanaman, tetapi

tanaman itu tidak pernah dapat disirami air. Tanaman itu bagaikan hidup di sebuah tanah

yang sangat gersang. Membaca adalah bagaikan air bagi tanaman tersebut. Tanaman itu

akan dapat hidup subur dan terus tumbuh jika disirami dengan air yang cukup.


Kesimpulannya, mahasiswa perlu menjadi agen utama dalam melakukan sesuatu

perubahan. Dengan menulis, mahasiswa dapat mengekspresikan perasaan dan fikiran dalam

satu tulisan yang hidup. Pujangga berkata, seribu langkah bermula dengan langkah pertama.

Siapa sangka, kecintaan pada ilmu dan menghasil-kan penulisan menjadikan anda seperti

Imam As-Suyuti yang dikenali sebagai Ibn Kutub. Saidina Ali Bin Abi Talib juga pernah

berkata “Jika kalian ingin melihat masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini.”

Mulalah untuk mengubah sesuatu keadaan dengan menghasil-kan penulisan yang hidup dan

hebat. Jika bukan mahasiswa, siapa lagi yang akan lakukannya?


Kamilea Syasya

Kolumnis Auctor Harmoni IIUM

81 views0 comments

Comments


bottom of page