top of page
Writer's pictureKolumnis Auctor

Keterbukaan Dalam Berpendapat - Iffah Nabiha

Updated: Apr 21, 2020

Ada waktu, kerana yakin kita benar, kita paksakan pendapat kita untuk diterima orang lain. Kita merasakan ia tidak salah, kerana pendapat kita sememangnya benar – “Ini demi kebenaran.” Namun, pernahkah kita dengar: ‘a man who uses force, is afraid of reasoning?’


           Menjadi hak setiap individu untuk bebas bersuara, tidak kira berapa remeh sekalipun pendapat yang ingin dilontarkan. Tidak kira siapa yang berbicara, sama ada seseorang itu berpengalaman dalam bidang itu atau tidak, mempunyai ijazah atau tidak, mempunyai jawatan atau tidak, pernah mengendalikan kemelut sebegitu atau tidak. Tiada siapa seharusnya terkecuali dari hak untuk melontarkan pendapat, biarpun ia bercanggah dengan apa yang paling kita percaya.


      Namun ada sisi yang saya kira kita sering terlepas pandang, dalam menegakkan kepercayaan, dalam melontarkan pendapat kita.


Peranan Pengalaman dan Pengetahuan dalam Membina Pendapat



      Perhatikan. Saban tahun, semakin banyak kita meredah pelbagai onak, duri dan mehnah. Bagi pimpinan mahasiswa, masing-masing semakin banyak menongkah arus cabaran dalam berorganisasi, dan bagi mereka yang semakin menaiki anak tangga dalam bidang masing-masing, mereka menjadi semakin berpengetahuan. Kita berbangga dengan percambahan mahasiswa yang semakin berkebolehan dan berpengalaman. Kejayaan projek dan masalah yang telah kita selesaikan, menambah nilai kita sebagai seorang mahasiswa.


        Berdasarkan pengalaman dan pengetahuan itu, kita berdiri teguh dengan pendapat kita. Kita menulis dan berbicara, adakalanya dalam mesyuarat kita menyanggah pendapat orang lain dengan mudah, merasa kita benar, kerana sebelum ini kita pernah mengendalikan masalah sebegini. Apabila disambut dengan sokongan orang, kita merasa puas. Apabila dibantah, kita tercabar. Lalu kita pertahankan diri dan berperang dengan pendapat.


Salahkah Berbeza Pendapat?


        Jika bertanya kepada saya, saya kira perbezaan pendapat adalah biasa, bila kita bersedia untuk terbuka dengan kemungkinan orang lain benar, dan kemungkinan kita salah. Perbezaan pendapat adalah sihat, bila kita matang berbahasa dalam berpendapat, dan jika ada salah, menegur dengan berhemah.


      Tetapi perbezaan pendapat mempunyai potensi untuk jauh menyimpang etika, apabila sejak awal kita tidak menyediakan ruang untuk bersedia mengaku salah sekiranya kita salah. Sebaliknya, kita rasa kita betul dan sememangnya kita betul, orang lain yang salah dan tidak berasas kata-kata mereka.


       Kesannya adalah, apabila sesuatu permasalahan timbul, sama ada  informasi yang telah disebarkan tidak tepat, atau timbul konflik disebabkan keputusan kita, kita lihat seringkali ramai orang cuba lari dari tanggungjawab tersebut, serta berlepas tangan bahawa ia datang dari kekurangan kita.


Ia bagaikan mudah untuk kita fahami, tetapi dalam situasi sebenar, bila kita dipengaruhi ‘motivated reasoning’, kita menjadi sangat yakin dan jalan terus tanpa mengendahkan apa-apa kemungkinan mahupun bukti bahawa kita yang salah.


Kisah Alfred Dreyfus dan Motivated Reasoning


Lihatlah apa yang dapat kita pelajari dari kisah Alfred Dreyfus pada abad ke-19, yang membawa kepada skandal politik dalam sejarah negara Perancis. Tentera Perancis telah menemukan suatu dokumen yang menyebabkan mereka melakukan penyiasatan besar-besaran, apabila terdapat keraguan bahawa ada di kalangan tentera mereka yang telah membocorkan rahsia negara ke kuasa Jerman.


Dreyfus kemudiannya dituduh melakukannya.


      Alfred Dreyfus mempunyai 'track record' yang baik, tiada motif yang sebenar untuk melakukannya. Namun begitu, dalam masyarakat yang sangat anti-Semitik, menganut agama Yahudi tidak akan memihak pada diri Dreyfus. Meskipun tulisan tangan pada dokumen tersebut tidak begitu mirip dengan tulisan tangan Dreyfus, dan siasatan di pangsapuri yang diduduki oleh Dreyfus tidak menemukan sebarang pembuktian, tentera Perancis tetap yakin bahawa Dreyfus yang bersalah. Malah, Dreyfus bukan sahaja bersalah, tetapi juga bijak menyembunyikan apa-apa bukti sebelum ditemui semasa siasatan.


        Menyelidiki latar belakang Dreyfus pula, Tentera Perancis berpendirian bahawa dengan sebab Dreyfus mempelajari bahasa asing di sekolah, menunjukkan kemungkinan Dreyfus sedari awal mempunyai niat untuk berkonspirasi dengan pengaruh luar. Dreyfus dibicarakan dan didapati bersalah.


       Mengamati kes tersebut – apakah bukti yang yang sebenar-benarnya jelas, Dreyfus telah membocorkan rahsia kepada kerajaan asing? Tulisan tangannya tidak begitu mirip dengan tulisan tangan dalam dokumen tersebut. Tiada penemuan yang menjadi bukti di pangsapuri Dreyfus. Tetapi mereka cukup yakin Dreyfus telah meniru tulisannya sendiri dengan cara seolah-olah ada seseorang yang cuba memerangkapnya, dan menghilangkan apa-apa bukti di kediamannya.


           Dreyfus dihukum penjara seumur hidup. Selama 10 tahun di penjara, Dreyfus menulis surat-surat kepada kerajaan Perancis agar membuka semula kesnya untuk dibicarakan.


       Apakah ada komplot di antara Tentera Perancis untuk menjadikan Dreyfus sebagai kambing hitam? Sejarawan berpendapat tiada bukti yang sememangnya jelas untuk menyokong dakwaan sebegitu. Sebaliknya, yang dapat dipastikan adalah, Tentera Perancis sememangnya percaya bahawa Dreyfus adalah bersalah.


          Julia Galef, seorang penulis dan Timbalan Pengarah di Center for Applied Rationality berpendapat hal ini menjadi satu bukti bahawa dalam memutuskan keadaan, pertimbangan manusia cenderung untuk dipengaruhi suatu konsep dikenali sebagai ‘motivated reasoning’, yang menyatakan bahawa seseorang cenderung untuk mencapai sesuatu kesimpulan yang menyokong pendapat atau pendiriannya, dan ini menghasilkan keputusan yang ada waktunya, mengetepikan justifikasi dan data yang akan menghasilkan keputusan yang berbeza. Dreyfus adalah contoh mangsa kepada ‘motivated reasoning’, dipercayai kerana Tentera Perancis yang sememangnya anti-Semitik meragui kesetiaan Alfred Dreyfus yang beragama Yahudi.


          Konsep-konsep seperti motivated reasoning, confirmation bias, cognitive dissonance dan lain-lain menarik apabila dibaca kupasan pakar, bagaimana ia mempengaruhi keputusan pimpinan organisasi, bagaimana acap kali seseorang pemimpin sulit untuk menerima informasi yang biarpun mempunyai meritnya yang tersendiri, tetapi kerana ia tidak menyokong strategi yang diharapkan, maka ia hanya dipandang sebelah mata.


Mahasiswa dan Pendirian


Dalam kebanggaan pencapaian kita semua, sikap hati-hati dengan pendirian sendiri bahawa ada kemungkinan kita mungkin salah, semakin dilupakan. Kita merasa begitu yakin, 'kita tidak salah'. Tidak berlaku 'reservation of probabilities' bahawa kita mungkin tersilap dalam hal ini.


     Pada peringkat mahasiswa, saya lihat ia semakin memakan diri kita semua. Kebelakangan ini, banyak pendapat ingin kita lontarkan dalam pelbagai polemik yang dihadapi negara; pergolakan politik, fenomena COVID-19 yang sedang kita hadapi dan banyak lagi, menjadikan semakin banyak keputusan yang perlu kita putuskan bersama di pelbagai peringkat. Sememangnya kita lihat, ramai di antara kita cukup jaguh dalam memajukan cadangan dan kritikan. Kita melontarkan pendapat di sini sana, bahawa itu dan ini adalah yang terbaik untuk dibuat. Kita menjadi yakin dengan diri dalam keadaan kita semakin terlupa untuk meraikan sisi pandang orang lain dan menerima kemungkinan pendapat mereka mungkin ada betulnya, walaupun kita sangat yakin kita juga yang betul. Sedangkan, tika ada setitis merit dalam cadangan orang lain, sekurang-kurangnya haruslah kita fikirkan sejenak cadangan itu, namun kita seperti cepat menolak, kerana kita sudah yakin dengan kebenaran yang kita fikir.


     Perhatikan dalam situasi lain, bilamana kita ada membangkang dalam sesuatu mesyuarat. Tatkala satu demi satu wakil yang hadir mula menyokong kita, kita seakan merasa puas pendapat kita disokong. Keadaan seperti ini bagaikan mengesahkan perasaan kita bahawa kita sememangnya di tempat yang benar, lalu lebih-lebih lagi kita memandang enteng pendapat orang lain dek kerana sokongan yang kita terima. Ia dengan cepat membelakangkan kesediaan kita untuk bersiap siaga kiranya kita tersalah, lalu terbina ego kita setiap kali situasi yang sama berlaku, kita merasakan, kita cukup tahu.


Renungan: Kebenaran Milik Siapa?


            Dalam kitab Minhajul Abidin karya Imam Ghazali, kita dianjurkan untuk sentiasa pulangkan segala ilham dan kebaikan kepada Allah dan bukan disandarkan pada diri kita. Imam Ghazali menukilkan, ketika seseorang menyatakan dia berkebolehan menunaikan haji kerana mempunyai wang, tanpa menyandarkan hal itu kepada Allah, dia telah berlaku ujub yang bersandarkan diri sendiri dan juga harta benda.

         Sebegitulah halusnya jiwa berTuhan, sentiasa berhati-hati agar tidak bermegah dengan kebenaran seolah-olah ia milik kita, tetapi sebaliknya, selalu pulangkan yang baik kepada Allah selayaknya, dan selalu juga mengakui kekurangan diri. Maka kita dapati di sini, seorang mukmin akan lebih berhati-hati dengan ilmu pengetahuan diri dalam membuat keputusan, khuatir terjerumus dalam ujub bila gagal merendah diri dengan pengetahuan sendiri.


Penutup: Pemimpin yang Dicintai


        Berusahalah kita menjadi pemimpin yang dicintai. Seperti tulisan Ary Ginanjar Agustian dalam bukunya Emotional Spiritual Quotient, seorang pemimpin yang dicintai merupakan pemimpin yang juga senang menghargai anak buahnya dan orang sekelilingnya. Antara cara kita menghargai adalah dengan membuka ruang seluas mungkin untuk mereka berpendapat, biarpun tidak senada dengan kita. Dan setelah kita adakan ruang untuk berbeza pendapat, ciptakan sedikit lagi ruang dalam diri – ‘mungkin ada betulnya sebegitu’. Akuilah, seringkali kita katakan kita terbuka dengan pendapat yang berbeza, namun tatkala ada pendapat yang menentang kepercayaan kita, kita cuma mendengar, tetapi tidak sebetulnya menerima. Sedangkan, jiwa seorang hamba yang berTuhan seharusnya menjadi jiwa yang paling terbuka dan menerima, kerana bagi jiwa-jiwa ini, nilai dirinya tidak bergantung kepada seberapa kali kita terbukti benar atau salah, tetapi apa sahaja keputusan yang berada di jalan kebenaran, adalah keputusan yang paling dekat dengan redha Allah.


     Hayatilah nukilan ayat 50 dari Surah Saba’; “Katakanlah: Jika aku sesat, maka sesungguhnya aku sesat untuk diriku sendiri, dan jika aku mendapat petunjuk, maka itu disebabkan apa yang diwahyukan Tuhanku kepadaku. Sesungguhnya, Dia Maha Mendengar, Lagi Maha Dekat.”


       Terima kasih Surah Saba’, padamu kami renungi kisah Kaum Saba’, biarpun segala kebijaksanaan dalam kemegahan tadbir urus kerajaan yang dilimpahi nikmat, kala tidak merendah diri pada keagungan kebenaran yang sebenar dan merasakan kebenaran milik kita, akhirnya kita akan dihancurkan oleh apa yang kita sendiri bangga-banggakan. Moga kita dihindarkan darinya, dan semoga kita selalu berani dalam mengakui kekurangan diri. InsyaAllah.


Iffah Nabiha

Kolumnis Auctor

385 views0 comments

Comments


bottom of page