top of page
Writer's pictureKolumnis Auctor

Makna Kehidupan: Nihilisme dan Kewujudan - Alif Mustaqim

Updated: Apr 7, 2020

Bumi merupakan salah satu daripada berbillion billion planet lain yang wujud dalam alam semesta yang tampak. Anda pula salah seorang yang hidup di atas Bumi, sebuah batu yang terapung-apung di angkasa yang tidak kehabisan dan tidak pula diketahui. Setiap insan akan merasai maut, dan akhirnya dilupakan. Semua perkara yang anda fikir yang orang lain ambil berat tentang, akan dilupakan begitu sahaja. Maka, apakah wujud makna dalam kehidupan?


Soalan sebegini ialah perkara yang paling berat untuk difikirkan. Ada yang memang memikirkannya. Ada juga yang terus melupakannya untuk elakkan diri terjatuh dalam lembah depresi dan krisis kewujudan.


Hakikatnya, tidak mungkin akan ada makna dalam kehidupan tanpa Tuhan.


Friedrich Neitzsche, seorang filsuf Jerman yang terkenal yang hidup dari tahun 1844-1900, memberi satu gambaran yang dikenali sebagai ‘perumpamaan lelaki gila’ (parable of the madman) yang terdapat dalam bukunya The Gay Science. Dalam perumpamaan tersebut, apabila semua orang telah beriman dengan sains dan tidak lagi beriman kepada Tuhan, seorang lelaki masuk ke dalam sebuah pasar, memegang lentera sambil berkata: “Tuhan telah mati! Di manakah Tuhan? Saya akan memberi tahu kalian, kita telah membunuhNya - kalian dan aku. Kita semua adalah pembunuhnya!”


Apa yang dimaksudkan oleh ‘lelaki gila’ ini adalah bahawa ‘permodenan’ cara fikir orang Eropah, yaitu berhijrah dari beriman kepada Tuhan kepada hanya beriman kepada sains, menyebabkan sains telah ‘membunuh’ Tuhan, di mana Tuhan tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang relevan lagi dalam kehidupan. Apa yang orang awam di pasar itu tidak faham adalah yang dengan ‘membunuh’ Tuhan, mereka telah hilang tempat untuk mencari ketenangan dan makna dalam kehidupan. Laju kehadapan lebih 100 tahun kemudian, memang ternyata Eropah dan Barat pada zaman ini berada dalam krisis kewujudan dan kadar bunuh diri semakin meningkat. Inilah yang dikatakan ‘nilhilisme’- kepercayaan bahawa alam ini tiada makna dan tujuan serta penolakan segala agama.


Kita dapat lihat hasil masyarakat Barat moden yang tidak berTuhan. Pada tahun 2018, Center for Disease Control (CDC) telah mengeluarkan statistik tentang kenaikan kadar pembunuhan diri di Amerika Syarikat, iaitu 25% sejak 1999. Dr. Clay Routledge, seorang saintis perilaku, dalam satu tulisan beliau dalam New York Times yang bertajuk “Suicides Have Increased. Is This an Existential Crisis?” (Membunuh diri telah bertambah. Adakah ini krisis kewujudan?), yakin bahawa krisis membunuh diri di Amerika merupakan sebahagian daripada krisis ketiadamaknaan.


Manakala, mereka yang mempunyai agama pula mempunyai kehidupan yang lebih baik. Gallup-Healthways Well-Being Index menunjukkan orang Amerika yang beragama mempunyai kesejahteraan hidup yang lebih baik. Di samping itu, sebuah kajian oleh psikologis Jerman dari Universiti Mannheim mendapati bahawa orang Islam mempunyai kepuasan hidup tertinggi, diikuti oleh orang Kristian dan penganut Buddha. Kajian tersebut menyatakan bahawa orang Islam mempunyai rasa ‘kesatuan’ yang paling tinggi, oleh itu, mempunyai kepuasan hidup yang lebih baik. Kesatuan ini diadakan oleh golongan muslim dengan kepercayaan Tawhid, iaitu kepercayaan kepada keesaan Tuhan. Golongan yang menolak kewujudan Tuhan, ateis, mempunyai rasa kesatuan yang paling sedikit.


Fakta-fakta yang dinyatakan di atas menunjuk kepada satu konklusi: manusia perlukan makna dan tujuan dalam kehidupan mereka. Manusia perlu ada rasa kepunyaan (sense of belonging) kepada sesuatu yang lebih besar dan lebih agong daripada diri mereka.  Hal ini hanya dapat dicapai dengan beriman dan mengabdikan diri kepada Tuhan yang Esa.


Tetapi mengapakah manusia memerlukan Tuhan untuk membuat kehidupan mereka mempunyai makna? Mengapa tidak cipta sahaja makna tu sendiri, seperti yang diperjuangkan ideologi ‘nihilisme optimistik’? Menariknya, idea asal untuk menolak Tuhan adalah kerana mereka mengatakan bahawa ketuhanan dan agama hanyalah ciptaan manusia belaka untuk menenangkan manusia daripada takut akan kematian dan krisis kewujudan. Adalah tidak koheren sekali, untuk seseorang yang menolak Tuhan, mencipta tujuan mereka sendiri yang akan menjadi ‘tuhan’ mereka de facto (secara hakikatnya). Jika mereka tidak mengabdikan diri kepada Tuhan yang Esa, mereka tidak ada pilihan lain melainkan untuk mencipta tuhan-tuhan mereka sendiri: ego, harta, cinta dan sebagainya. Ironinya, tuhan mereka ‘dicipta untuk menenangkan mereka!’


Selain itu, mencipta tujuan hidup sendiri bermakna setiap orang mempunyai hak untuk mencipta apa-apa tujuan sekalipun untuk hidup mereka, walaupun tujuan itu tidak baik seperti  membunuh dan merompak, mengumpul duit satu sen terbanyak, menyusahkan orang lain, atau untuk menjadi pengedar dadah paling hebat selepas Pablo Escobar. Malah, bercakap dari segi metafizik, tiada siapa mempunyai hak untuk mengatakan bahawa tujuan hidup orang lain adalah salah kerana pada awalnya, fahaman nihilisme dipegang, oleh itu, membawa kepada kepercayaan bahawa kebenaran tidak wujud (disebabkan makna hakiki tidak wujud, oleh itu kebenaran tidak wujud juga) yang akhirnya, kerana implikasinya yang buruk, diimbangi oleh nihilisme optimistik- kepercayaan bahawa walaupun alam tidak mempunyai makna hakiki namun manusia boleh mencipta makna dan tujuan mereka sendiri. Jika ada seseorang yang mengatakan tujuan atau makna hidup orang lain adalah salah, ini membawa kepada konklusi wujudnya kebenaran, kerana kesalahan wujud juga. Jika kebenaran wujud maka argumen nihilisme akan roboh.


Dalam sejarah, terutamanya zaman liberal klasik, kita dapat melihat manusia mencipta tujuan hidup mereka sendiri dan telah membawa kepada kebinasaan. Contohnya, Charles Darwin mengatakan bahawa orang putih diwajibkan untuk menjajah bangsa-bangsa lain kerana mereka belum ‘fully evolved’, dan adalah tanggungjawab orang putih untuk memperadabkan bangsa-bangsa lain. Selain itu, untuk memenuhi rasa kepunyaan, manusia menyatukan diri mereka mengikut negara-bangsa mereka, maka lahirlah nasionalisme dan peperangan. Askar-askar mereka sanggup bermatian demi mempertahankan kebanggaan terhadap sesuatu yang tidak wujud. Contoh yang paling menyerlah ialah kebangkitan Jerman Nazi pada perang dunia kedua.


Pada hari ini, manusia meletakkan kekayaan harta sebagai tujuan hidup sehingga mereka sanggup menzalimi mereka yang miskin dan mengambil kesempatan atas mereka. Industri dan kilang juga telah membawa kepada kerosakan alam yang besar.


Dengan menolak Tuhan, datanglah nihilisme, dan dengan nihilisme, apa-apa pun datang! Hakikatnya tujuan yang dicipta sendiri oleh manusia hanyalah ilusi semata-mata. Dan ini telah dibuktikan dengan statistik pembunuhan diri dan kajian yang dinyatakan awal tadi.


Tuhan yang berhak manusia mengabdikan diri hanyalah Tuhan yang Esa, dengan tidak menyekutukanNya sedikitpun. Dengan kembalinya seorang hamba kepada Tuhan yang Esa, dia juga melepaskan diri daripada berikat dengan ideologi-ideologi yang batil dan tidak berasas. Ia juga membebaskan manusia daripada menyembah tuhan-tuhan palsu seperti patung, pokok, ego, malah, harta. Dengan  Tuhan yang Esa jugalah manusia mendapat ketenangan dan mencari makna dan tujuan hidup hakiki.


- Alif Mustaqim



361 views0 comments

コメント


bottom of page